MAG catat untung bersih positif RM54 juta pada 2024, tahun ketiga berturut-turut

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2025 • 1:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAG catat untung bersih positif RM54 juta pada 2024, tahun ketiga berturut-turut

image is not available

17/04/2025 - 13:07

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 April — Malaysia Aviation Group (MAG) melaporkan untung bersih sebanyak RM54 juta bagi 2024, menandakan tahun ketiga berturut-turut keuntungan operasi positif kepada RM113 juta.


Syarikat penerbangan nasional itu berkata, prestasi tersebut direkodkan lagi melalui Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) yang kukuh sebanyak RM788 juta, yang mampu dicapai walaupun masih ada berdepan masalah operasi.


Situasi itu mengurangkan kapasiti sebanyak 18 peratus, namun ia mengekalkan baki tunai kukuh mencecah RM3 bilion pada 31 Disember 2024, tanpa ada sebarang suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad, sejak Oktober 2021.


Pemotongan kapasiti, didorong oleh faktor gangguan rantaian bekalan yang memanjangkan tempoh masa penyelenggaraan dan isu kelewatan dalam penghantaran pesawat baharu, kata MAG dalam satu kenyataan, telah berjaya diselesaikannya dengan baik.


"Keadaan ini memberi kesan kepada pendapatan setahun penuh kumpulan, yang berjumlah RM13,679 juta – marginal satu peratus penurunan tahun-ke-tahun (y-o-y) berikutan peningkatan enam peratus dalam Kilometer Tempat Duduk Tersedia (ASK)," katanya.


Bagaimanapun, trafik penumpang kekal teguh dalam segmen premium dengan faktor muatan lebih kukuh untuk kedua-dua segmen penumpang dan kargo selain ia mengembangkan lagi rangkaian antarabangsa melalui laluan baharu dan kerjasama perkongsian mendalam.


Sementara itu, untung bersih yang direkodkan kumpulan tersebut katanya, disokong faktor pembalikan rosot nilai ke atas Hak Penggunaan Aset, Pesawat, Harta, Loji dan Peralatan serta Aset Tidak Ketara berjumlah RM426 juta.


Kemerosotan ini, yang pada mulanya diperakui semasa wabak Covid-19 pada tahun 2020, sebelum telah berjaya diterbalikkan disebabkan oleh peningkatan kapasiti, hasil, faktor tempat duduk dan hasil yang dialami MAG pada tahun kewangan 2023 dan 2024.


"Pada 2024, MAG dan anak syarikat meraih pengiktirafan global yang ketara untuk produk dan perkhidmatan. Malaysia Airlines dianugerahkan status APEX Four-Star Major Airline dan disenarai antara 10 Teratas untuk Kru Kabin Terbaik Dunia oleh Skytrax," katanya.


Malaysia Airlines tambah kumpulan tersebut, turut naik ke tangga 39 berbanding hanya kedudukan ke-47 sebelum itu dalam ranking Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia selain menerima anugerah untuk kategori santapan dalam penerbangannya.


Kejayaan itu mencerminkan komitmen untuk meningkatkan tawaran atas pesawatnya, termasuk melalui pengenalan menu Terbaik Asia, di samping program kesetiaan Enrich terus mendapat pujian atas prestasi kukuh dalam penglibatan ahli dan kesetiaan pelanggan.


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Kapten Datuk Izham Ismail dalam kenyataan itu berkata, tahun lalu menjadi bukti daya tahan dan komitmen MAG terhadap pertumbuhan dan kemampanan semasa menghadapi cabaran operasi, apabila bukan sahaja mengekalkan keuntungan tetapi memastikan ia berada kedudukan strategik masa depan.


"Ketika kami berusaha ke arah wawasan Destinasi 2030, masa depan kestabilan dan pertumbuhan, kami kekal memberi tumpuan kepada dua prinsip panduan: kemampanan komersial dan pembinaan negara dengan visi kumpulan adalah jelas," kata beliau.


MAG juga katanya, mengukuhkan rangkaian untuk memaksimumkan ketersambungan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat dengan tempahan hadapan meningkat kira-kira sembilan peratus y-o-y termasuk ASEAN, Australia, New Zealand dan Asia Selatan. - DagangNews.com

featured standard