MAG Sahkan Pilot Ditahan Di Indonesia Bukan Juruterbang Kendalikan Pesawat

7 Aug 2026 • 3:22 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

MAG Sahkan Pilot Ditahan Di Indonesia Bukan Juruterbang Kendalikan Pesawat

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, media melaporkan penahanan seorang pembantu juruterbang warganegara Malaysia yang disyaki cuba menyeludup dadah di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia.

Lelaki yang berusia 39 tahun dan dilaporkan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu ditahan selepas petugas kastam menemui 14 bungkusan mengandungi kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis MDMA (ekstasi) dan 2.7 gram syabu dalam bagasi miliknya.

MAG Sahkan Individu Ditahan Merupakan Pegawai Kedua, Tidak Mengendalikan Penerbangan Tersebut

Terbaharu, Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan individu yang terbabit dalam insiden baru-baru ini bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan berkenaan.

Sebaliknya, lelaki itu merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit (cockpit jump seat).

“Individu berkenaan juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian itu. Pesawat terbabit dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang operasi yang bertauliah,” jelasnya.

Tindakan Individu Yang Ditahan Bertentangan Dengan Piawaian Profesional

MAG turut menyifatkan tindakan individu terbabit yang ditahan baru-baru ini adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana perbuatan itu bertentangan dengan piawaian profesional yang ditetapkan terhadap pekerja mereka.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, keselamatan operasi serta tahap kesiapsiagaan kru untuk bertugas adalah satu perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran terhadap piawaian keselamatan dan telah mengambil tindakan segera dengan memperkukuh saringan dadah mandatori dalam kalangan juruterbang aktif.

“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme majoriti besar warga kerja kami, kami akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang serta pihak berkepentingan,” jelasnya.

MAG Wajibkan Saringan Dadah Kepada 1,260 Juruterbang MAS

MAG dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya telah mewajibkan kesemua 1,260 juruterbang MAS untuk menjalani ujian saringan dadah serta melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat.

Inisiatif itu sebagai langkah bagi memperkukuhkan lagi keselamatan operasi penerbangan mereka.

Jelas MAG, proses saringan terhadap juruterbang di bawah kumpulan penerbangannya akan diadakan dan dijangka selesai pada 15 Ogos depan.

“Juruterbang yang gagal melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mereka disahkan bebas daripada sebarang isu berkaitan, selaras dengan prosedur MAG serta keperluan kawal selia,” kata mereka.

Saringan Dadah Mandatori Akan Dilaksanakan, Turut Perluas Kepada Kru Kabin Yang Aktif

Tambah MAG, saringan dadah mandatori juga akan dilaksanakan sebagai tambahan kepada program ujian rawak sedia ada.

Saringan ini akan dilaksanakan terhadap kesemua juruterbang aktif sebelum diperluaskan kepada kru kabin aktif.

“Langkah pantas ini mencerminkan tahap keprihatinan tinggi MAG terhadap insiden terbaharu melibatkan penahanan seorang juruterbangnya, selain menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku,” jelas mereka.

Juruterbang Perlu Lengkapkan IMSAFER Sebelum Penerbangan

Jelas MAG lagi, setiap juruterbang operasi perlu melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum melakukan setiap penerbangan untuk menilai tahap kesediaan fizikal dan mental mereka untuk bertugas.

Ia juga akan disokong dengan Pengurusan Ancaman dan Ralat (Threat and Error Management – TEM) untuk mengenal pasti serta mengurus risiko operasi.

Penilaian IMSAFER meliputi tujuh aspek seperti:

  • Penyakit
  • Ubat-ubatan
  • Tekanan
  • Alkohol
  • Keletihan
  • Emosi
  • Pengalaman penerbangan terkini

Pada masa sama, MAG turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia.

Ia bertujuan untuk melaksanakan cadangan penambahbaikan, mengukuhkan lagi langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan dalam operasi penerbangan.

Baca Artikel Berkaitan:

Kes Juruterbang Seludup Dadah Ke Indonesia: Suspek Dapat Bekalan Dadah Dari Ampang – Polis

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved