
DALAM sejarah gerakan mahasiswa negara, PBMUM antara persatuan mahasiswanya yang terpenting.
PBMUM punya bidang kebitaraannya, iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.
PBMUM memberikan pengertian lebih luas terhadap kebudayaan, iaitu merangkumi seluruh spektrum kehidupan, iaitu sosial, ekonomi dan politik. Justeru, program-program PBMUM bersifat bersama dan untuk masyarakat, serta menuntut ditegakkan nilai-nilai seperti kebenaran, keadilan dan kemakmuran.
PBMUM menggunakan pelbagai pendekatan dan orientasi dalam melaksanakan program-programnya. PBMUM telah melahirkan ramai pemimpin, termasuk dalam politik.
Seterusnya, saya berharap PBMUM meneruskan perjuangan menegakkan universiti yang punya roh dan gedung ilmu yang menegakkan kebebasan dan kecemerlangan akademik.
PBMUM perlu memperkasa diri untuk menjadi pencetus idea di dalam dan di luar kampus, menjadi intelektual awam dan pemimpin masyarakat dalam mendepani masa depan.
Merujuk saranan Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Malaysia memerlukan Konsensus Nasional Baru, saya berpendapat ini termasuk amalan Politik Baru, iaitu ‘politik perjuangan’ yang punya tiga rukun, iaitu idealisme (berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan nilai-nilai tinggi dan murni), aktivisme (kesediaan secara sukarela dan berkorban untuk merealisasikan idealismenya) dan intelektualisme (menghayati budaya ilmu dalam idealisme dan aktivisme).
Politik perjuangan punya ciri-ciri bersih dan segar, iaitu politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukannya politik fitnah, dan politik bakti bukannya politik undi. Justeru, saya menyeru mahasiswa menceburi politik untuk menyertai ‘politik perjuangan’. PBMUM khasnya, dan kampus amnya, mampu menjadi sekolah politik yang ampuh. - 24 Mei, 2025
Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mantan presiden PBMUM yang menulis bersempena ulang tahun ke-70 persatuan itu, adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan presiden Majlis Belia Malaysia
The post Mahasiswa bakal ahli politik perjuangan – Saifuddin Abdullah appeared first on Scoop.
