Mahasiswa didedah mengenai literasi digital

16 Jul 2024 • 9:31 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Panel jemputan mengutarakan perbuatan 'misinformation' berbahaya dan etika perkongsian maklumat di media sosial.

‘Digital literacy’ (literasi digital) ialah kesedaran tentang keselamatan privasi dan data sensitif pengguna atas talian, serta tanggungjawab pengguna sendiri apabila berkongsi maklumat di media sosial.

Pada zaman kini di mana pelbagai urusan dan interaksi sosial dilakukan di atas talian, ia tidak boleh dihiraukan kerana pencerobohan privasi boleh menyebabkan pelbagai masalah keselamatan.

Sehubungan itu, TikTok Malaysia dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Surf's Up: Deputies of Digital Literacy, sebuah program bertujuan menambah baik kesedaran tentang literasi digital dan keselamatan internet.

Melalui kaedah interaktif, pelajar didedahkan tentang keselamatan atas talian, perlindungan data, dan aktiviti atas talian yang bertanggungjawab, bagi membentuk persekitaran alam maya yang selamat.

Program itu terdiri daripada panel perbincangan dan bengkel untuk menerangkan perspektif, pengalaman serta pemahaman tentang ‘misinformation’ dalam dunia digital hari ini.

Ia dikendalikan oleh calon Doktor Falsafah University of Nottingham, Aziff Azuddin dan menampilkan panel jemputan iaitu Ketua Polisi Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzil; pencipta kandungan TikTok, Reina Lum; Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Malaysia, Mediha Mahmood serta penyampai radio, Sharaad Kuttan.

Perbincangan panel berkisar tentang, Laporan Risiko Global 2024 oleh Forum Ekonomi Dunia yang mendakwa ‘misinformation’ sebagai ancaman nombor satu di dunia untuk dua tahun akan datang.

Anuar menjelaskan tanggungjawab individu ketika berada atas talian, usaha platform dan pengawal selia undang-undang dalam mewujudkan ruang atas talian selamat, serta mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada tentang maklumat yang dikongsi.

“Ia bukan sahaja tentang mempelajari kemahiran teknikal yang membantu kita membangunkan perkhidmatan dan aplikasi digital, atau mengurus data dan menyelenggara pelayan, tetapi juga mengenai pemahaman aspek etika dan kritikal dalam melayari internet,” kata beliau.

Mediha pula menekankan literasi digital dalam membantu individu mengenalpasti maklumat palsu.

“Internet adalah ruang kandungan dan ilmu yang luas, ia boleh menjadi agak sukar untuk membezakan antara fakta dan pendapat dalam era kewartawanan rakyat dan penciptaan kandungan,” katanya.

Seterusnya, Shaarad berkata, walaupun ada perubahan dalam bagaimana berita diterima pada masa ini, etika di sebalik kewartawanan, media dan penciptaan kandungan mesti diutamakan dalam era komunikasi digital.

Semasa sesi panel, Reina menekankan tentang kepentingan penciptaan dan penggunaan kandungan yang bertanggungjawab.

Sebagai pencipta yang sering mendidik audiens tentang hal semasa, beliau memberi pandangan tentang proses mencipta kandungan, dan juga memastikan kandungan dihasilkan mempunyai fakta sahih.

Reina turut menyentuh tentang konsep ‘Jejak Digital’, menghuraikan tentang impaknya kepada penjenamaan peribadi dan memberi tip untuk mengekalkan imej digital yang positif.

Pelajar yang hadir mengambil bahagian secara aktif dalam kesemua cadangan Reina dan membincangkan secara terbuka tentang bagaimana mereka boleh menambah baik aktiviti atas talian mereka.