
JAKARTA – Anggota polis dan tentera Indonesia dikerahkan di sekitar sekitar pusat kota Jakarta bagi mengawal perhimpunan bantahan yang dianjurkan oleh kumpulan aktivis pelajar Universiti Indonesia (UI), lapor saluran berita Jakarta Globe.
Demonstrasi tersebut diadakan sehari selepas negara jiran itu menyambut Hari Kemerdekaan ke-81.
Perhimpunan yang membawa tema #MerebutKemerdekaan itu dijadualkan bermula pada jam 1 petang di Bulatan Hotel Indonesia.
Para peserta dilaporkan berkumpul di kampus UI seawal jam 10 pagi sebelum bergerak ke lokasi bantahan di pusat bandar raya.
Menurut gabungan pelajar berkenaan, rakyat Indonesia mendakwa masih belum menikmati kebebasan sepenuhnya dari sudut ekonomi dan politik.
Mereka turut melemparkan tuduhan bahawa pentadbiran Presiden Prabowo Subianto kini semakin memusatkan kuasa.
Antara tuntutan mereka termasuk harga barangan asas dan bahan api yang lebih rendah, tindakan yang lebih tegas terhadap rasuah, reformasi agraria, pemulihan autonomi wilayah dan pengakhiran campur tangan tentera dan polis dalam hal ehwal awam.
Pelajar juga menggesa agar projek-projek strategik nasional disemak semula serta menuntut penghentian program Makanan Bergizi Gratis (MBG) kerajaan dan koperasi desa Merah Putih.
Anggota polis dan tentera telah dikerah di sekitar lokasi bantahan menjelang demonstrasi tersebut, dengan kira-kira 10 kenderaan polis kelihatan di berhampiran stesen TransJakarta Tosari. – AGENSI
The post Mahasiswa Indonesia adakan tunjuk perasaan appeared first on Kosmo Digital.
