Mahasiswa KPTM Alor Setar Cipta Rekod Tulis Esei Dalam Air

12 Oct 2023 • 7:05 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Mahasiswa KPTM Alor Setar Cipta Rekod Tulis Esei Dalam Air

ALOR SETAR, 12 Okt (Bernama) — Seorang mahasiswa Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar mencipta rekod menulis esei sepanjang kira-kira 350 perkataan sambil menyelam pada kedalaman lima meter untuk tempoh lebih 90 minit sehingga mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi, 20, melakukan cabaran itu di kolam renang Pusat Akuatik Kedah di sini, yang turut disaksikan puluhan pensyarah dan pelajar KPTM.

image is not available
Gambar: Bernama

Menurut mahasiswa semester enam Diploma Pengurusan Pejabat itu, ia juga sebagai inisiatif untuk mencipta kreativiti dalam bidang selaman selain menggalakkan golongan muda menceburi bidang berkenaan.

“Pada mulanya saya bercadang untuk melakukan rekod ini di laut tetapi disebabkan faktor keselamatan selain cuaca tidak menentu ketika ini, maka kami mengubah rancangan dan melakukannya di kolam.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 minit pertama, segalanya berjalan lancar namun selepas itu, saya mula merasa kesejukan, selain berdepan kesukaran menulis dalam keadaan cuba mengimbangi posisi badan dalam air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

image is not available
Gambar: Bernama

Ahmad Fudhail berkata dia bersyukur kerana berjaya mengatasi cabaran itu dan menyiapkan esei bertajuk ‘Kepentingan Pembangunan Personaliti Kepada Bakal Graduan’ dalam tempoh satu jam 34 minit dengan menggunakan pen dan buku kalis air.

“Selepas ini saya bersama pasukan bercadang untuk mencipta rekod dunia pula. Kami sedang memikirkan untuk menyelam selama tiga hari berturut-turut secara berganti-ganti dengan melakukan aktiviti tertentu di dalam air,” katanya.

image is not available
Gambar: Bernama

Sementara itu, pengarah projek yang juga pensyarah Program Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar Jamilatul Husna Ramli berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap sebarang usaha pelajar untuk mempamerkan kreativiti dan mencipta rekod.

image is not available
Gambar: Bernama

“Inisiatif ini sebenarnya datang dari Ahmad Fudhail sendiri. Saya selaku penasihat program mengusulkan cadangan itu kepada Pengarah KPTM Mudzir Mohamad dan pihak pengurusan kemudiannya memberi kelulusan serta sokongan penuh.

“Pemilihan tajuk esei itu pula dibuat secara rawak dan diberikan kepada Ahmad Fudhail untuk ditulis dan tajuk itu cukup rapat dengan satu daripada subjek dalam program kami. Kami bersyukur kerana usaha dan impian Ahmad Fudhail berjaya dilaksanakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA