
Mahasiswi terperangkap dalam tempat simpan barang bas dengan kaki terjulur keluar & terseret
Seorang mahasiswi didakwa terperangkap di ruang penyimpanan barang sebuah bas dengan kedua-dua kakinya terjulur keluar dan terseret di atas jalan raya.
Lebih malang, insiden ini hanya disedari oleh pemandu bas selepas lima minit sebelum dia menghentikan kenderaan tersebut.
Mangsa, yang menggunakan nama @shafiyyah_nurul di laman sosial X, berkongsi insiden ini pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 2 Jun (Ahad) jam 9.30 malam, sebaik tiba di Terminal Bas Shah Alam, Seksyen 17, dari Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru.
“Ketika itu saya sudah tiba di Shah Alam dan ingin mengambil beg di tempat penyimpanan bawah bas.
“Tiba-tiba pintu tertutup sementara tubuh saya masih di dalam, namun kaki di luar. Bayangkan sebaik sahaja pemandu menutup pintu, bas terus bergerak dan jari kaki saya terseret di jalan tar,” ceritanya.
Tambah @shafiyyah_nurul, dia menjerit meminta tolong tetapi tiada yang mendengarnya. Penuntut universiti itu sempat menghubungi ibu bapanya untuk meminta bantuan sebelum pemandu bas menyedari kejadian tersebut.
Tidak lama kemudian, pemandu bas memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan memarahinya kerana tidak meminta tolong untuk mengambil beg di tempat penyimpanan barang.
“Saya hanya mampu menangis dan meraung tanpa melawan kata-kata pemandu bas tersebut.
“Kemudian, pemandu itu membawa saya ke klinik selepas menghantar penumpang lain di Klang,” katanya.
Susulan insiden itu, @shafiyyah_nurul telah membuat laporan polis tetapi tidak mengetahui tindakan lanjut yang boleh diambil untuk menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya akibat kecuaian pemandu bas tersebut.
Perkembangan lanjut menyusul.
Sumber: Sinar Harian
The post Mahasiswi terperangkap dalam tempat simpan barang bas dengan kaki terjulur keluar & terseret appeared first on Siakap Keli.


![‘Hardest Goodbye’- Ramai Sebak Lihat Ibu Terpaksa Tinggal Anak Kerana Kerja Di Luar Negara [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)