MAHB catat 56.1 juta pergerakan penumpang pada separuh pertama 2023, capai 82% daripada tahap sebelum pandemik
diyana
21/07/2023 - 17:32
KUALA LUMPUR 21 Julai - Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan sebanyak 56.1 juta pergerakan penumpang dalam separuh pertama 2023 (1H23), mencapai 82% daripada tahap sebelum pandemik dalam tempoh yang sama pada 2019.
Kumpulan itu turut mencapai kejayaan pemulihan baharu dengan lebih 10 juta penumpang pada Jun 2023, yang tertinggi sejak penutupan global pada Mac 2020, di mana operasinya di Malaysia dan Turki terus menunjukkan pertumbuhan penumpang yang konsisten dengan mencatatkan paras tertinggi baharu.
Bagi sektor antarabangsa, ia telah mencatat peningkatan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 7.1% daripada bulan sebelumnya kepada 4.9 juta antarabangsa bagi Jun 2023, manakala sektor domestik kekal melebihi paras 5 juta untuk bulan kedua berturut-turut dengan merekodkan 5.3 juta penumpang.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata rangkaian lapangan terbang kumpulan itu berkembang seiring dengan trafik global dan serantau yang beransur pulih.

“Sebagai contoh, jumlah pergerakan penumpang bagi lapangan terbang di Malaysia pada separuh pertama 2023 merekodkan 38.9 juta penumpang berikutan trafik antarabangsa semakin kukuh disokong oleh perkembangan positif, manakala sektor domestik terus menerajui momentum pemulihan trafik.
“Pengaktifan semula 45 syarikat penerbangan dan permulaan dua syarikat penerbangan baharu iaitu, T’way Air dan TransNusa meningkatkan jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan kepada 75% atau 50.5 juta pada 1H23 berbanding 1H19 pada 67.3 juta,” ujar beliau,
Di samping itu, Iskandar berkata jumlah faktor muatan purata untuk 1H23 melebihi 1H19 sebanyak 1.2 mata peratusan kepada 76.1%, dengan faktor muatan purata yang lebih tinggi direkodkan setiap bulan pada 1H2023 kecuali bulan Ramadhan, memberikan keyakinan untuk pertumbuhan kapasiti tempat duduk sejajar dengan pemulihan trafik.
Bagi Jun 2023, MAHB berkata operasi di Malaysia merekodkan hampir 7 juta pergerakan penumpang, meningkat 2% daripada bulan sebelumnya, manakala pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia buat kali pertama merekodkan 3.2 juta penumpang, meningkat 7% jika dibandingkan dengan Mei 2023.
Sementara itu, momentum trafik bagi pergerakan penumpang domestik terus merekodkan melebihi paras 3 juta sejak Disember 2022.
Prestasi Malaysia terus menyumbang kepada hampir 70% daripada jumlah pergerakan penumpang global Kumpulan pada 10.2 juta penumpang bulan lepas.
Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Turkiye, MAHB berkata ia mencatatkan jumlah pergerakan penumpang tertinggi sejak Mac 2020 dengan 3.3 juta penumpang untuk Jun 2023 dan telah pulih sepenuhnya kepada tahap sebelum pandemik 2019 dengan pertumbuhan 4.4% pada Jun dan 1.5% untuk 1H23.
Jun 2023 juga menyaksikan lapangan terbang itu mencatat satu lagi paras tertinggi baharu bagi pergerakan penumpang antarabangsa iaitu 1.7 juta penumpang, manakala pergerakan penumpang domestik mencatatkan 1.6 juta penumpang, masing-masing meningkat sebanyak 7.2% dan 3.7% daripada bulan sebelumnya. - DagangNews.com


