MAHB catat lebih 11 juta pergerakan penumpang bagi Julai 2023

25 Aug 2023 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAHB catat lebih 11 juta pergerakan penumpang bagi Julai 2023

diyana

25/08/2023 - 15:00

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan lebih 11 juta pergerakan penumpang bagi Julai 2023, dalam trend menaik berterusan bagi pertumbuhan trafik yang stabil.

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata pergerakan penumpang di operasi Malaysia dan Türkiye mencapai paras tinggi baharu bulan lepas, masing-masing pada 7.4 juta dan 3.7 juta penumpang.

“Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik juga dicatatkan pada jumlah tertinggi bagi tahun setakat ini, dengan 5.4 juta penumpang antarabangsa dan 5.7 juta penumpang domestik.

“Masing-masing mewakili 89% dan 87% daripada jumlah penumpang untuk tempoh yang sama pada 2019, menandakan kemajuan konsisten menuju ke arah pemulihan penuh pada paras sebelum pandemik,” katanya.

Bagi Julai 2023, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia meningkat hampir 10% kepada 3.5 juta penumpang daripada 3.2 juta penumpang pada bulan sebelumnya, manakala pergerakan penumpang domestik merekodkan 3.9 juta penumpang, naik 2% daripada 3.8 juta penumpang pada Jun 2023.

Jelasnya, pertumbuhan sektor antarabangsa dan domestik disumbangkan oleh cuti sekolah tempatan menjelang akhir Julai, cuti musim panas di Hemisfera Utara, kedatangan pelancong China secara beransur-ansur, kepulangan jemaah haji, operasi syarikat penerbangan baharu dan tambahan kekerapan penerbangan.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen terus menunjukkan momentum kukuh trafiknya, mengatasi jumlah penumpang sebelum pandemik selama tiga bulan berturut-turut.

Menurut MAHB, lapangan terbang tersebut merekodkan 3.7 juta jumlah pergerakan penumpang pada Julai 2023, pertumbuhan 8.6% daripada bulan yang sama pada 2019, dan peningkatan 13% daripada 3.3 juta penumpang dalam Jun 2023.

“Seiring dengan cuti musim panas, pergerakan penumpang antarabangsa pada Julai 2023 mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini dengan 1.9 juta penumpang, meningkat 11% daripada 1.7 juta penumpang pada Jun 2023.

“Pergerakan penumpang domestik merekodkan 1.8 juta penumpang, mencecah 90% daripada paras dalam Julai 201 yang merupakan kadar pemulihan tertinggi untuk tahun itu. Ini juga mencatatkan peningkatan 16% daripada 1.6 juta penumpang pada Jun 2023,” tambahnya. - DagangNews.com