MAHB hulur bantuan kepada penumpang MYAirline terkandas
zulfadli
12/10/2023 - 15:10
KUALA LUMPUR 12 Okt - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menggunakan sumbernya di rangkaian lapangan terbang berkaitan di dalam syarikat itu bagi menghulurkan semua bantuan kepada penumpang MYAirline yang terkandas, susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan itu awal pagi tadi.
MAHB memaklumkan, notis berkaitan telah disedikan di terminal dan kakitangan lapangan terbang menawarkan bantuan pada pilihan penerbangan alternatif syarikat penerbangan lain.
Katanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), kawasan rehat disediakan di Aras 3 Terminal 2 dan Aras 5 Anjung Tinjau Terminal 1 supaya penumpang boleh menunggu penerbangan seterusnya dengan selesa.
"Pada masa ini, keadaan di lapangan terbang terjejas terkawal. Data operasi menunjukkan sehingga 12 Oktober 2023, sejumlah 39 penerbangan yang memberi perkhidmatan kepada destinasi tempatan dan satu laluan antarabangsa ke Lapangan Terbang Don Mueang (DMK), serta kira-kira 5,000 penumpang terjejas.
"Penumpang yang belum berada di lapangan terbang dinasihatkan untuk tidak datang ke lapangan terbang.
"Sebaliknya, mereka boleh meneroka pilihan penerbangan alternatif daripada syarikat penerbangan lain melalui laman web syarikat penerbangan masing-masing," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Tambah kenyataan itu, MAHB kekal komited untuk meminimumkan kesulitan yang dialami penumpang terjejas dan memastikan semua penumpang mengalami perjalanan lancar di lapangan terbang. - DagangNews.com

