
ALOR SETAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) meminta semua pihak agar tidak mengamalkan politik kebencian melampau yang boleh menggugat keharmonian negara ini.
Beliau berkata setiap pimpinan parti sama ada yang menjadi kerajaan ataupun pembangkang mesti ada batasan untuk memastikan suasana politik berlangsung secara matang tanpa menimbulkan sebarang kebencian.
“Kita nak pada politik yang matang... mesti ada nilai kebijaksanaan, kalau nak bawa politik ekstrim ini, politik melampau, ia akan membawa kepada kemusnahan negara takkan aman sebab kita bawa politik melampau,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mahdzir berkata kepimpinan parti memainkan peranan penting bagi membentuk sikap rasional dalam kalangan penyokong di peringkat akar umbi sekali gus mempengaruhi mereka untuk membawa budaya politik matang.
“Jangan biar penyokong di bawah jadi sampai peringkat melampau... bermula daripada kepimpinan... kita dah tahun 2023, orang dah bercakap pasal kecerdasan buatan dan dunia digital, tapi kita masih bawa politik melampau, itu tak kena,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu juga berkata lebih 30 peratus calon BN untuk PRN di negeri berkenaan adalah muka baharu.
“Kita ambil kira semua faktor yang boleh memberikan kemenangan, paling penting rakyat suka personaliti calon itu. Parti suka dan rakyat suka, campur dua itu sudah menjadi, rakyat dengan parti,” katanya.
Beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan yang dilihat sudah ada keserasian di peringkat akar umbi sekali gus menunjukkan gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan itu harmoni serta sepakat.
“Saya yakin bahawa (walaupun) gabungan ini baru lapan bulan tetapi sudah ada penyesuaian... kita ada tiga peringkat iaitu nasional, negeri dan di bawah (akar umbi),” katanya. -Bernama
