KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab atas pelanggaran hak cipta berkaitan penggunaan bahan promosi bagi program bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas MADANI.
Dalam penghakiman yang disampaikan pada Selasa, Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim selaku plaintif diberikan ganti rugi statutori dan tambahan berjumlah RM40,000 serta kos sebanyak RM25,000.
Tindakan sivil itu difailkan pada 15 Januari 2025 susulan dakwaan penggunaan tanpa kebenaran karya seni promosi berhak cipta milik Hasan Azhari ketika pelancaran program bidaan nombor pendaftaran khas itu oleh kerajaan.
Menurut kenyataan media, peguam plaintif, Rajesh Nagarajan pada Khamis berkata, sebelum pelaksanaan program berkenaan, anak guamnya telah menghasilkan cadangan plat nombor pendaftaran khas itu malah mendaftarkan karya berhak cipta bertajuk 'Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 sehingga MADANI 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia' dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Beliau berkata, plaintif turut mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan beberapa kali, namun ia ditolak atas pertimbangan dasar.
Bagaimanapun katnya, kerajaan selepas itu meneruskan program bidaan awam bagi siri MADANI yang didakwa menggunakan bahan promosi berhak cipta milik Hasan Azhari tanpa kebenaran.
Sebelum ini, pada 5 November 2024, Sinar Harian melaporkan Hasan Azhari mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan pelanggaran harta intelek itu.
Menerusi surat tuntutan berkenaan, beliau menuntut bayaran ganti rugi bersamaan separuh daripada hasil penjualan nombor plat tersebht, dalam tempoh tujuh hari selepas surat berkenaan diterima.
Berdasarkan dokumen berkenaan, Hasan Azhari mendakwa menjadi pemilik sah karya hak cipta terbabit, mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Sementara itu, pada 25 Oktober 2024, Ketua Pengarah JPJ ketika itu, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober 2024, berjaya merekodkan kutipan RM2.62 juta.
Beliau berkata, MADANI 6 merekodkan harga bidaan tertinggi iaitu RM68,888, diikuti MADANI 5 (RM58,001), MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110).
Menurutnya, bidaan itu menarik penyertaan 5,632 pembida dengan 3,263 daripadanya berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan Hasan Azhari bebas membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Rajesh berkata, keputusan berkenaan membuktikan hak harta intelek tetap dilindungi walaupun pihak yang didakwa melakukan pelanggaran ialah pihak berkuasa awam.
"Anak guam kami tidak pernah berniat menghalang kerajaan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Apa yang dituntut hanyalah pengiktirafan bahawa karya kreatif mendapat perlindungan undang-undang dan tidak boleh digunakan tanpa kebenaran," katanya.
Menurut kenyataan itu, defendan mempunyai tempoh satu bulan dari tarikh penghakiman untuk memfailkan rayuan sekiranya berhasrat berbuat demikian.


