SELAYANG - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat memerintahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara sehingga isu itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili pihak pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berkata, Majistret Chai Guan Hock memutuskan demikian selepas mendapati wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah terbabit.
Ketika dihubungi Sinar Harian, beliau berkata mahkamah turut mengambil kira kemungkinan timbul ketegangan awam sekiranya isu tersebut tidak dikendalikan dengan baik.
Katanya, mahkamah kemudian mengeluarkan perintah awal mengikut Seksyen 99(1) Kanun Prosedur Jenayah terhadap Yayasan Kubra berhubung dakwaan pemusnahan dan gangguan terhadap kuil itu.
Seksyen itu merujuk kepada kuasa mahkamah untuk mengeluarkan perintah awal apabila terdapat aduan bahawa sesuatu tindakan telah menyebabkan gangguan awam atau bahaya kepada ketenteraman awam.
“Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah meneliti aduan serta bahan yang dikemukakan oleh Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaran Taman Rawang Perdana.
“Aduan tersebut difailkan pada 3 Mac lalu bagi pihak ahli dan penganut kuil berkenaan susulan kejadian perobohan serta kerosakan yang didakwa berlaku pada struktur kuil di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah mengambil kira bahawa kuil berkenaan telah berada di lokasi tersebut sejak 1995, sementara pemilik tanah semasa hanya memperoleh tanah itu pada 2021.
Berdasarkan keputusan tersebut, beliau berkata status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini sehingga penelitian lanjut terhadap dokumen daripada kedua-dua pihak dibuat.
Rajesh berkata, mahkamah turut mengarahkan pihak pengurusan kuil serta Yayasan Kubra mengemukakan kenyataan bertulis dan dokumen sokongan bagi membolehkan mahkamah menentukan status sebenar pemilikan tapak itu.
Dalam pada itu, peguam tersebut berkata pihak pengurusan kuil tidak mempertikaikan pemilikan tanah oleh Yayasan Kubra, namun membantah tindakan merobohkan sebahagian struktur kuil yang didakwa dilakukan tanpa perintah mahkamah yang sah.
“Jika rumah ibadat hendak dipindahkan atau diusir, pihak terlibat perlu mendapatkan perintah mahkamah yang sah terlebih dahulu.
“Tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa kebenaran mahkamah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
Rajesh turut memaklumkan bahawa pihak polis sebelum ini ditempatkan di lokasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, sekali gus menunjukkan wujudnya risiko ketegangan sekiranya keadaan tidak dikawal dengan baik.
Menurutnya, mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan kes bagi meneliti dokumen dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum keputusan lanjut dibuat.
Turut mewakili pihak pengurusan Kuil Sri Uchimala Muniswaran ialah peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal.
Pada 27 Februari lalu, jawatankuasa kuil memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.
Tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan kuil daripada tindakan pemilik tanah dan pihak ketiga yang didakwa merobohkan kuil berkenaan secara tidak sah.
Pada 11 Februari lalu, polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan kuil berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata penahanan dibuat susulan aduan yang diterima daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit.
Difahamkan, sebahagian kuil tersebut telah dirobohkan sebelum ini.
