Mahkamah benar Ilham Tower cabar tindakan SPRM sita menara

LocalPolitics
4 Nov 2025 • 4:32 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi membenarkan Syarikat Ilham Tower Sdn Bhd hari ini memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyitaan Menara Ilham, yang dimiliki keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan penangguhan sementara (ad-interim stay) hingga 1 Disember bagi menghalang SPRM daripada melaksanakan tindakan pelucuthakan terhadap bangunan berkenaan yang terletak di Jalan Binjai.

Menurut Hakim, perintah sementara itu bertujuan mengelakkan sebarang tindakan pelucuthakan sehingga pendengaran penuh semakan kehakiman, di mana syarikat itu akan berhujah untuk membatalkan notis rampasan berkenaan.

Memetik laporan BH, Ilham Tower mencabar kesahan perintah penyitaan tersebut dan menuntut mahkamah mengisytiharkannya tidak sah serta terbatal.

Syarikat itu turut memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis rampasan serta semua keputusan atau tindakan berkaitan.

Selain itu, Ilham Tower turut memohon perintah mandamus supaya responden kedua atau mana-mana pegawai, pekerja, ejen, atau individu yang diberi kuasa di bawah responden kedua membatalkan notis rampasan tersebut.

Ilham Tower diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au, manakala pihak responden termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki diwakili Peguam Persekutuan Kanan Nurhafizza Azizan dalam prosiding hari ini.

Permohonan itu difailkan pada 23 Jun melalui firma guaman Messrs Raj & Sach.

Balu Allahyarham Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, disenarai sebagai salah seorang pengarah Ilham Tower.

Selain Azam, responden lain termasuk pegawai kanan SPRM Mohd Razi Rahhim @ Rahim, Ahmad Akram, pendakwa raya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Malaysia.

Jun lalu, SPRM telah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk merampas Menara Ilham berdasarkan Notis Rampasan Harta Tak Alih di bawah Seksyen 51(1) Akta SPRM bertarikh 4 Jun. - 4 November, 2025

The post Mahkamah benar Ilham Tower cabar tindakan SPRM sita menara appeared first on Scoop.

View Original Article