
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini agar beberapa isu awal didengar sebelum perbicaraan saman sivil yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan satu insiden lapan tahun lalu.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Anwar selaku pemohon dalam permohonan itu.
Dalam penghakiman, mahkamah berpendapat bahawa persoalan yang dibangkitkan wajar diputuskan sebagai isu awal.
Menurut Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin ini kerana peristiwa-peristiwa yang dihujahkan oleh Muhammed Yusoff adalah bersifat berurutan, memandangkan Muhammed Yusoff perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa beliau berada di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018 sebelum dakwaan insiden didakwa berlaku.
“Jika isu-isu awal diputuskan memihak kepada defendan (Anwar) tuntutan plaintif (Muhammed Yusoff) akan berakhir.
“Jika ia diputuskan memihak kepada plaintif, dapatan tersebut adalah muktamad dan mengikat, dan perbicaraan seterusnya hanya akan tertumpu kepada dakwaan serangan (insiden),” katanya hari ini.
Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan Anwar supaya isu awal berkenaan diputuskan hanya berdasarkan keterangan afidavit.
Sebaliknya, mahkamah menetapkan isu-isu tersebut perlu diputuskan melalui perbicaraan yang melibatkan keterangan lisan, dengan kedua-dua pihak bebas memanggil saksi yang dianggap perlu, tertakluk kepada kerelevanan keterangan mereka.
Dengan keputusan itu, prosiding lain dan selanjutnya dalam saman berkenaan ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap isu awal tersebut.
Sebelum ini, berdasarkan permohonan, Anwar mahu beberapa isu berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada hari kejadian yang didakwa ditentukan terlebih dahulu, sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.
Menurut beliau, penentuan isu-isu ini berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tersebut tanpa perbicaraan penuh.
Bagaimanapun, Muhammed Yusoff mahu perkara itu dibicarakan di mahkamah yang mana dalam afidavitnya, plaintif menyifatkan permohonan itu sebagai cubaan sengaja untuk melengahkan perbicaraan, yang pada asalnya ditetapkan pada Jun tahun lalu.
Dalam pernyataan saman tuntutan, Muhammed Yusoff mendakwa serangan terhadapnya berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018, selepas diminta hadir oleh setiausaha sulit Anwar bagi menyerahkan teks ucapan.
Plaintif mendakwa laporan polis dibuat pada 7 Disember 2019 dan kesihatan mentalnya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.
Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selaku plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021, menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa, beliau sedang bersama keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut. – KOSMO! ONLINE
The post Mahkamah benar permohonan Anwar beberapa isu didengar dahulu dalam saman Yusof Rawther appeared first on Kosmo Online.






