KUALA LUMPUR - Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.
Hakim, Nurulhuda Nur'Aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas berpendapat, tiada merit untuk menahan pasport Asnida Abdul Daim, 65, di mahkamah sehingga kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan pegangan saham di lima syarikat dihadapinya selesai.
Nurulhuda Nur'Aini berkata, hujahan wujud risiko melarikan diri sekiranya pasport diserahkan semula kepada Asnida selaku pemohon tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menyatakan perkara itu akan berlaku.
"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan semakan ini dan pasport pemohon dikembalikan," katanya.
Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip berkata, pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut kerana sebelum ini Asnida gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil keterangan.
"Pemohon sentiasa ke luar negara dan mempunyai perniagaan di sana, sekali gus menimbulkan kemungkinan untuk melarikan diri.
"Kes ini melibatkan salah seorang daripada anak Allahyarham Tun Daim yang mempunyai kepentingan awam," katanya.
Bagaimanapun, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Asnida berkata, kerap ke luar negara untuk urusan perniagaan, tidak bermaksud pemohon berisiko untuk melarikan diri.
Menurutnya, tidak munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa seseorang yang sering ke luar negara mempunyai risiko berkenaan.
Pada 7 April lalu, dia didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis tersebut telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta yang membabitkan pegangan saham di lima syarikat.
Ia membabitkan syarikat Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.






