Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh kes saman Yusoff Rawther

LocalPolitics
21 Jul 2025 • 11:35 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan prosiding kes saman sivil yang difailkan terhadapnya oleh bekas pegawai penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther pada 2021.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata, ini kerana wujud keadaan istimewa.

“Kami mendapati bahawa penangguhan prosiding perlu diberikan kerana terdapat keadaan istimewa, terutamanya kerana tanpa penangguhan, rayuan akan menjadi tidak bermakna.

“Kami juga mendapati tiada prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Anggota panel hakim yang lain ialah Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng.

Mahkamah menetapkan 2 September depan bagi pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, Anwar diwakili peguam Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan itu atas alasan permohonan terbabit tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, hakim itu turut menyifatkan tindakan itu bertujuan mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi Perdana Menteri kekebalan bersyarat daripada saman sivil. - 21 Julai, 2025