
Mahkamah Rayuan tolak rayuan syarikat insurans, kekalkan perintah bayar RM900,000 indemniti kepada ahli perniagaan atas kerosakan kereta Bentley pada 2020.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan sebuah syarikat insurans membayar RM900,000 sebagai indemniti kepada seorang ahli perniagaan atas kerosakan pada Bentley Continental miliknya dalam satu kemalangan pada tahun 2020.
Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing, Datuk Ismail Brahim dan Datuk Leonard David Shim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan MSIG Insurance (Malaysia) Bhd serta rayuan Inderpal Singh, masing-masing dengan kos RM50,000.
MSIG Insurance telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan Inderpal Singh bagi mendapatkan indemniti di bawah polisi insurans manakala ahli perniagaan itu turut merayu terhadap keputusan mahkamah yang menolak tuntutannya berhubung kecuaian, termasuk RM253,000 bagi kehilangan penggunaan dan RM990,000 bagi kehilangan keseronokan memiliki kenderaan Bentley tersebut.
Ketika menyampaikan keputusan yang dibuat secara sebulat suara, Choo berkata panel itu mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah menilai bukti dan membuat penemuan fakta yang tidak menunjukkan sebarang kekhilafan sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata walaupun terdapat versi yang dikemukakan oleh MSIG Insurance tentang bagaimana kemalangan itu boleh berlaku, ia gagal meyakinkan Mahkamah Rayuan untuk mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi.
Hakim itu berkata mahkamah menolak hujah bahawa kemalangan tersebut telah dirancang bagi menuntut insurans.
“Tiada bukti yang meyakinkan bahawa Inderpal Singh telah merancang kemalangan itu selain syak wasangka defendan (Insurans MSIG) bahawa ia tidak mungkin berlaku seperti yang dinyatakan oleh Inderpal Singh,” katanya sambil menambah adakalanya kemalangan boleh berlaku tanpa sebab yang saintifik atau logik.
Menyentuh mengenai rayuan balas Inderpal Singh, beliau berkata mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan itu gagal membuktikan bahawa MSIG Insurance cuai dalam menjalankan siasatan dan memproses tuntutannya.
Inderpal Singh adalah pemilik berdaftar bagi Bentley Continental yang diinsuranskan dengan MSIG Insurance di bawah polisi kereta persendirian yang menyediakan perlindungan komprehensif bernilai RM900,000 untuk tempoh setahun bermula 8 Feb 2019.
Pada 22 Jan 2020, Inderpal Singh dalam perjalanan pulang selepas melawat kakaknya di Kelana Jaya apabila kereta yang dipandu melanggar penghadang jalan ketika beliau cuba mengelak daripada melanggar anjing yang melintas secara tiba-tiba.
Ahli perniagaan itu memaklumkan seorang ejen insurans MSIG pada hari berikutnya dan kenderaan tersebut kemudian ditunda ke bengkel yang menyediakan laporan anggaran kos pembaikan berjumlah RM1,053,491.07.
Pada 4 Jun 2021, MSIG Insurance mengeluarkan surat menolak tuntutan Inderpal Singh atas alasan ia mencurigakan dan tidak konsisten dengan situasi kemalangan yang dinyatakan ahli perniagaan itu.
Syarikat itu juga mendakwa Inderpal Singh telah menggunakan kaedah penipuan untuk memperoleh manfaat daripada polisi insurans tersebut.
Inderpal Singh kemudian memfailkan saman menuntut ganti rugi di bawah polisi insurans itu atas dakwaan MIG Insurance telah melanggar kontrak dan cuai dalam mengendalikan tuntutannya.
Pada 20 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutannya di bawah polisi insurans namun menolak permohonan berkaitan kecuaian serta pampasan bagi kehilangan penggunaan dan keseronokan memiliki kereta.
Inderpal Singh diwakili peguam David Samuel dan Mithurran Ravinthiran manakala MSIG Insurans diwakili peguam Samreet Singh Sagoo dan Theebadarshini Retnakumar.





