Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati terhadap ahli perniagaan

2 Aug 2023 • 4:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang ahli perniagaan kerana mengedar 9.528 kilogram (kg) ganja.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azmi Ariffin yang menolak rayuan Mohammad Firdaus Mohsin, 38, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hadhariah berkata, tiada merit dalam rayuan Mohammad Firdaus.

Beliau berkata, sabitan terhadap Mohammad Firdaus adalah selamat untuk dikekalkan.

Pada 3 Disember 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Mohammad Firdaus bersalah mengedar dadah itu di tepi Jalan Bukit di hadapan bangunan parkir kereta stesen kereta api KTMB Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor pada pukul 10 malam, 28 Mac 2017.

Mohammad Firdaus mempunyai satu lagi peluang merayu di Mahkamah Persekutuan.

Menurut fakta kes, sepasukan polis daripada bahagian siasatan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah dihantar ke kawasan itu setelah mendapat maklumat dan ternampak Muhammad Firdaus yang membawa dua beg berada dalam keadaan yang mencurigakan.

Seorang pegawai polis mendekati Mohammad Firdaus dan mengarahkannya untuk membuka beg berkenaan. Mereka menemukan beberapa kepingan daun-daun mampat dalam satu daripada beg itu yang kemudiannya disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai ganja.

Dalam pembelaannya, Mohammad Firdaus mendakwa beg berkenaan bukan kepunyaannya tetapi milik seorang pemandu Uber. Beliau berkata dia menjaga beg itu sementara menunggu pemandu Uber itu meletakkan keretanya di tempat letak kereta.

Mohammad Firdaus mendakwa, beliau datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk menghadiri satu acara dan menunggu bapa saudaranya untuk mengambil dia ke rumah lelaki itu di Sungai Ramal, Kajang.

Sewaktu perbicaraan, pemandu Uber, Mohd Sabri Salleh memberi keterangan bahawa dia menerima tempahan daripada Mohammad Firdaus menerusi aplikasi Uber untuk menghantar ahli perniagaan itu dari KL Sentral ke stesen KTMB Kajang.

Beliau berkata, dia nampak Mohammad Firdaus membawa beg-beg itu dan kemudian meletakkan beg-beg itu bersebelahannya (Muhammad Firdaus) di kerusi belakang kereta.

Peguam, Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Mohammad Firdaus sementara Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari mewakili pihak pendakwaan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved