Mahkamah sahkan penulisan Ridhuan Tee fitnah Ikram

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 7:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Badlishah Sham Baharin

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tiga penulisan oleh Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Facebooknya pada 2020 mempunyai unsur fitnah terhadap Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut melibatkan kapasiti untuk memfailkan saman fitnah.

Menurutnya, ketiga-tiga artikel berkenaan mengandungi dakwaan tidak berasas, palsu dan mencemarkan reputasi Ikram sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan yang sah berdaftar di negara ini.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekali gus membersihkan nama baik Ikram daripada pelbagai tohmahan tidak berasas yang telah ditimbulkan dalam penulisan tersebut.

“Artikel yang dimaksudkan ialah ‘Ikramisasi Ketika Wabak Covid-19 Melanda’ (15 April 2020), ‘Insaflah Ikram Sebelum Karam’ (18 April 2020) dan ‘Kenapa Ikram Begitu Baik dengan Ultra Kiasu, Dong Zong?’ (27 April 2020),” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sebelum mengambil tindakan undang-undang, pihaknya terlebih dahulu menghantar surat rasmi kepada Mohd Ridhuan Tee pada 16 April 2020 bagi mengadakan pertemuan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Beliau (Mohd Ridhuan Tee) bukan sahaja tidak memberi respons, malah enggan bertemu, menyebabkan kami tiada pilihan selain memfailkan saman fitnah pada 25 Mac 2021 demi mempertahankan maruah dan integriti pertubuhan.

“Walaupun mahkamah menolak saman dari sudut teknikal berkaitan isu kapasiti undang-undang pertubuhan, mahkamah tetap memutuskan bahawa kandungan penulisan Mohd Ridhuan Tee adalah berunsur fitnah terhadap Ikram,” ujarnya.

Beliau berkata, keputusan berkenaan membuktikan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Ikram adalah tidak berasas dan telah mencemarkan imej pertubuhan.

Badlishah turut berharap agar Mohd Ridhuan Tee mengambil iktibar daripada keputusan tersebut, lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam sebarang penulisan serta pandangan yang dikongsikan kepada umum.

"Sebagai pertubuhan yang sentiasa mengutamakan pendekatan harmoni dan dialog, Ikram kekal terbuka untuk berbincang secara langsung dengan mana-mana pihak termasuk Mohd Ridhuan Tee demi menjernihkan kekeliruan.

“Ikram turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mewakili dan memperjuangkan kes itu dengan penuh dedikasi serta profesionalisme,” jelasnya.