Mahkamah Tinggi perintahkan penggulungan wajib terhadap TH Heavy Engineering

27/05/2025 - 17:04
KUALA LUMPUR 27 Mei - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan penggulungan wajib terhadap TH Heavy Engineering Bhd (THHE), selepas membenarkan petisyen daripada pemiutang Globalmariner Offshore Sdn Bhd, Boomslang Technology Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Blackstone Technology Sdn Bhd), dan Dynac Sdn Bhd.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad bersetuju dengan pihak pemohon, demi tadbir urus korporat, berikutan pelbagai isu yang dibangkitkan dalam petisyen, adalah perlu bagi mahkamah untuk mempertimbangkan penggulungan wajib syarikat tersebut berbanding penggulungan secara sukarela.
Penggulungan secara sukarela dimulakan oleh syarikat sendiri, manakala penggulungan wajib dimulakan oleh mahkamah.
Atan Mustaffa berkata, terdapat isu-isu seperti transaksi yang meragukan, perubahan kedudukan kewangan, kekurangan tadbir urus korporat, serta kelakuan pelik pelikuidasi interim sebelum ini dan keperluan untuk siasatan bebas.
“Saya telah meneliti pengecualian audit, dan demi kepentingan tadbir urus korporat yang telah menafikan hak yang signifikan kepada para pemiutang. Saya berpuas hati bahawa penggulungan secara sukarela tidak boleh dilaksanakan berdasarkan alasan kukuh terhadap kebimbangan serius dan pelbagai isu yang dibangkitkan.
“Sehubungan itu, mahkamah ini membenarkan perintah bahawa THHE digulung di bawah Seksyen 464(1) Akta Syarikat 2016 (AS), dan kos petisyen dibayar daripada aset syarikat (THHE),” kata hakim itu dalam prosiding dalam talian yang dilaporkan The Edge.
Seksyen 464 (1) AS memperincikan alasan yang membolehkan sesebuah syarikat digulung secara wajib oleh mahkamah.
Sebelum ini, THHE berada di bawah penggulungan sukarela sejak September 2023, setahun selepas ia dinyahsenarai.
THHE telah diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM150,000 kepada tiga pihak pemohon yang diwakili oleh peguam David Mathews.
Hakim Atan Mustaffa turut menolak permohonan seorang pemiutang, Star Kriss Services Sdn Bhd, yang diwakili oleh peguam S Ravenesan, untuk melantik pelikuidiasi bebas bagi kes itu.
Sebaliknya, beliau membenarkan petisyen daripada Globalmariner Offshore, Boomslang Technology, dan Dynac untuk melantik Chiang Teng Guan dari firma Messrs Rodgers Reidy & Co, serta Lim Tian Huat sebagai pelikuidasi bersama.
Hakim dalam keputusannya berkata, ketiga-tiga pemohon tersebut yang memegang 76.8% daripada jumlah hutang THHE, mempunyai hak untuk mencalonkan pelikuidasi bersama memandangkan kes ini adalah kompleks dan memerlukan siasatan forensik yang terperinci.
“Setelah mendengar hujahan sebelum ini, mahkamah ini menolak permohonan Star Kriss Services, dengan kos sebanyak RM20,000,” kata Atan Mustaffa.
Pihak lain yang turut hadir dalam prosiding dalam talian tersebut termasuk peguam Urusharta Jamaah Sdn Bhd, Rishwant Singh dan Joyce Pang yang mewakili NSF Engineering Sdn Bhd, manakala Franky Irwan Abdul Rashid hadir bagi pihak Jabatan Insolvensi.
Awal bulan ini, panel tiga hakim telah menolak usaha THHE yang dikawal oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk menghalang pemiutang daripada menukar proses penggulungan sukarela syarikat itu kepada penggulungan wajib.
MOF memiliki 64.45% pegangan dalam THHE melalui Urusharta Jamaah. Syarikat itu telah dinyahsenarai pada 2023.
Panel Mahkamah Rayuan (COA) yang terdiri daripada tiga hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan para pemiutang THHE dan TH Fabricators Sdn Bhd memulakan prosiding undang-undang untuk meletakkan kedua-dua syarikat di bawah penggulungan wajib di bawah pengawasan mahkamah, selepas mendapati rayuan mereka tidak mempunyai merit.
“Mahkamah rayuan ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi kerana tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan mahkamah ini,” kata hakim rayuan Datuk P Ravinthran dalam alasan penghakimannya.
Ravinthran bersidang bersama hakim-hakim Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Pemiutang menuntut penggulungan wajib dengan mendakwa proses penggulungan sukarela telah melanggar pelbagai undang-undang.
Mereka juga berhujah bahawa pelikuidasi yang dilantik oleh THHE dan TH Fabricators, iaitu Andrew Heng dan Ashwin Mahendran, mempunyai konflik kepentingan kerana seorang bekas eksekutif kanan THHE bekerja di firma yang sama dengan mereka. Oleh itu, para pemiutang memohon mahkamah untuk melantik pelikuidasi bebas. - DagangNews.com
standard


