johardy28/09/2026 - 18:09 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Petroleum Logistic Services Sdn Bhd untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd (LCT Malaysia) daripada memulakan atau meneruskan prosiding timbang tara terhadapnya.
Mahkamah tidak membuat perintah mengenai kos bagi permohonan injunksi itu, menurut pemfailan syarikat induk LCT Malaysia iaitu Lotte Chemical Titan Holding Berhad, kepada Bursa Malaysia hari ini.
Dalam keputusan yang disampaikan pada 25 September, mahkamah turut membenarkan permohonan LCT Holding, LCT Malaysia serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LCTH, Jang Seon Pyo untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan terhadap mereka oleh Petroleum Logistic Services sehingga prosiding timbang tara selesai.
Mahkamah memerintahkan Petroleum Logistic Services membayar kos RM30,000 kepada LCT Malaysia bagi permohonan penangguhan yang dibuat oleh anak syarikat itu. Bayaran tersebut perlu dibuat dengan segera, tertakluk kepada pengesahan kos.
Dua lagi permohonan Petroleum Logistic Services, iaitu untuk menggugurkan kelayakan peguam defendan daripada mewakili mereka serta mendapatkan dokumen tertentu, turut ditangguhkan bersama prosiding saman itu. Kos bagi kedua-dua permohonan tersebut tertakluk kepada keputusan akhir kes.
Pertikaian berhubung jualan domestik
Petroleum Logistic Services, bekas pengedar LCT Malaysia, memfailkan saman pada Mac berhubung jualan domestik yang menurut tuntutannya dibuat menggunakan atau bersandarkan lesen miliknya.
Syarikat itu menuntut perincian hasil dan keuntungan daripada jualan berkenaan yang diterima atau disimpan oleh LCT Holdings dan LCT Malaysia, serta pembayaran apa-apa jumlah yang didapati terhutang kepadanya.
Antara tuntutannya ialah ganti rugi khas RM111.8 juta berdasarkan penanda aras margin keuntungan kasar 15%, selain RM18.44 juta berkaitan cukai dan penalti yang dicadangkan.
Sebagai tuntutan alternatif, syarikat itu memohon ganti rugi RM20.57 juta berdasarkan margin pengedar 3%.
Sebelum saman tersebut difailkan, LCT Malaysia telah mengeluarkan notis timbang tara pada 5 Mac. Antara perkara yang dipohonnya ialah pengisytiharan bahawa Petroleum Logistic Services melanggar perjanjian pengedaran bertarikh 29 Mei 2019 dan perjanjian jualan berkaitan.
Keputusan mahkamah yang diumumkan hari ini tidak memutuskan tuntutan pokok kedua-dua pihak. LCTH berkata, sebarang perkembangan penting akan diumumkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com



