
KUALA LUMPUR - Usaha Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk mendapat kebenaran menuntut semula sebidang tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu.
Syarikat itu gagal untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu yang memerintahkan kerajaan hanya membayar pampasan bagi hartanah berkenaan.
Berikutan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran.
Litigan dalam kes sivil menurut undang-undang, perlu mendapat kebenaran sebelum mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak terhadap hak milik tanah itu, namun syarikat itu layak mendapat pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika tanah terbabit diambil alih oleh kerajaan.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Hashim hari ini berkata, 26 persoalan undang-undang yang dikemukakan Semantan Estate tidak memenuhi ambang batas ditetapkan bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Kami juga berpendapat permohonan itu berpusatkan fakta dan tidak menimbulkan sebarang persoalan kepentingan Perlembagaan,” katanya dalam keputusan sebulat suara.
Panel yang turut disertai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan bahawa syarikat berkenaan gagal memenuhi prasyarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah menolak permohonan kebenaran merayu itu tanpa kos.
Hakim Hasnah menetapkan 17 November untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor bagi menetapkan tarikh pendengaran awal untuk pentaksiran pampasan.
Tanah dipertikai dikenali sebagai Enklaf Duta itu, menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - 13 November, 2025
The post Mahkamah tolak permohonan Semantan Estate untuk rayu hak milik tanah Duta Enclave appeared first on Scoop.
