
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) untuk mencelah dalam saman pemula yang difailkan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Hakim, Roz Mawar Rozain berkata, Raja Norazli Raja Nordin tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam kes berkenaan memandangkan kepentingan yang dibangkitkan menerusi permohonan itu adalah milik DKU sebagai sebuah institusi dan bukan miliknya secara individu selaku Setiausaha DKU.
Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan DKU untuk mencelah serta menetapkan institusi itu sebagai defendan ketiga dengan pembabitannya dihadkan kepada isu berkaitan yang akan ditentukan kemudian.
Beliau berkata, kehadiran DKU penting bagi memastikan keputusan mahkamah dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh, termasuk berhubung isu ‘Raja Pemerintah’ yang dibangkitkan plaintif mengikut Perkara 28(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri .
Dalam pada itu, Roz Mawar turut bersetuju dengan hujahan plaintif bahawa DKU tidak mempunyai sebarang fungsi berkaitan pelantikan atau pembatalan pelantikan Exco.
Mahkamah turut merekodkan pengesahan pihak plaintif bahawa prosiding berkenaan akan diteruskan tanpa meminta mahkamah menentukan kesahan proklamasi bertarikh 19 April 2026 atau pihak yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Terdahulu, peguam yang mewakili 10 plaintif, Datuk Mohd. Hafarizam Harun memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah menarik kelulusan pelantikan peguam luar untuk mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri dalam kes berkenaan.
Beliau berkata, dalam surat bertarikh 29 Oktober lalu yang dihantar kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, Menteri Besar menyatakan kerajaan negeri perlu meneliti penggunaan wang awam atas dua alasan.
“Pertama, terdapat implikasi kewangan sekiranya khidmat peguam luar digunakan dan perkara itu tidak dapat dinilai dengan sewajarnya.
“Kedua, yang lebih penting, sebarang keputusan membabitkan komitmen kewangan kerajaan negeri yang signifikan perlu terlebih dahulu dibawa untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.
Menurutnya, surat itu turut menyatakan MMKN setakat ini belum bersidang menyebabkan perkara berkaitan pelantikan peguam luar serta implikasi kewangannya tidak dapat dipertimbangkan dan diputuskan sewajarnya.
“Justeru, tidak wajar untuk kerajaan negeri terus menanggung komitmen perbelanjaan sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Muzalmah berkata, surat berkenaan diterima di pejabatnya pada Jumaat lalu ketika beliau menghadiri mesyuarat di Langkawi, sebelum dimaklumkan pada petang hari sama bahawa peguam plaintif telah memfailkan afidavit tambahan.
Beliau berkata, pihaknya hanya berkesempatan membalas surat berkenaan pada pagi Isnin dengan menjelaskan pengeluaran fiat pelantikan peguam adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri serta tidak memerlukan kebenaran Menteri Besar.
“Saya dah berjumpa dengan Menteri Besar sebelum ini dan menyatakan mengenai pelantikan peguam, namun tidak dinyatakan sebarang bantahan.
“Tiada juga perbincangan mengenai fi (bayaran). Isu itu tidak timbul sekarang kerana ia perkara berasingan daripada pelantikan peguam,” katanya.
Dalam prosiding sama, Hakim Roz Mawar Rozain turut mempersoalkan sama ada surat yang dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim itu dibuat atas kapasiti peribadi atau kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Mahkamah menetapkan prosiding bersambung pada 16 November ini, pukul 10 pagi menerusi sidang video bagi mendengar bantahan awal pihak-pihak terbabit.
Semua pihak diarahkan memfailkan hujahan masing-masing pada 10 November ini, manakala afidavit balasan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 13 November. – UTUSAN
The post Mahkamah tolak permohonan Setiausaha DKU jadi pencelah appeared first on Utusan Malaysia.






