Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz isu cukai RM5 juta

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz isu cukai RM5 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung tuntutan bayaran cukai tambahan berjumlah lebih RM5 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semakan kehakiman itu berhubung tindakan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.

Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan pertikaian itu perlu didengar oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibawa ke mahkamah.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Azizan berkata, mahkamah menerima hujahan responden (LHDN) bahawa kesemua isu yang dibangkitkan sepatutnya diselesaikan menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan (ITA) 1967.

Menurutnya, permohonan semakan kehakiman itu merupakan satu cubaan untuk memintas proses perundangan yang telah ditetapkan dan disifatkan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Pemohon telah mengemukakan rayuan kepada SCIT di bawah Seksyen 99 ITA, namun tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan semakan kehakiman ini.

“Secara ringkasnya, mahkamah mendapati perkara ini juga sedang menunggu pendengaran di hadapan SCIT dan pihak-pihak terlibat hendaklah menggunakan hak mereka di bawah SCIT terlebih dahulu sebelum datang ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan Mukhriz selaku pemohon untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada responden.

Pada prosiding hari ini, Mukhriz diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala LHDN diwakili Peguam Hasil, Marina Ibrahim.

Hakim itu turut menjelaskan bahawa mahkamah tidak menyentuh mengenai merit kes tersebut, sebaliknya hanya membuat keputusan berdasarkan isu bidang kuasa.

“Jadi, terpulang kepada pihak-pihak terlibat untuk menggunakan hak mereka di bawah rayuan berkanun dan selepas itu mereka mempunyai hak untuk datang semula ke mahkamah berhubung isu tersebut.

“Dalam kes ini, perayu juga telah mengambil langkah yang tepat dengan memfailkan Borang Q (borang rayuan) di hadapan SCIT. Jadi, biarlah SCIT memutuskan perkara itu terlebih dahulu,” katanya.

Mukhriz, 61, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebagai responden pertama.

Pada awal pemfailan semakan kehakiman itu, Mukhriz turut menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga namun pada 24 Julai 2025, kedua-dua responden itu berjaya membatalkan nama mereka daripada tindakan undang-undang itu.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan notis taksiran tambahan berkenaan.

Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires (di luar bidang kuasa undang-undang). – UTUSAN

The post Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz isu cukai RM5 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved