Mahsuri sumbang kicap bantu pengoperasian Dapur Siswa Madani UPM

22 Oct 2026 • 1:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mahsuri sumbang kicap bantu pengoperasian Dapur Siswa Madani UPM

SERDANG – Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. menyumbangkan 600 unit produk kicap bagi menyokong operasi Dapur Siswa Madani Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup kira-kira 300 mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merangkumi 300 unit Kicap Pedas Manis Mahsuri dan 300 unit Kicap Lemak Manis Mahsuri untuk kegunaan pelajar yang memanfaatkan kemudahan dapur komuniti berkenaan.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam membantu komuniti yang memerlukan.

“Bagi kami, sesebuah perniagaan bukan sekadar tentang produk sahaja, tetapi juga impak positif yang boleh kita bawa kepada komuniti.

“Kami berharap sumbangan produk ini dapat membantu kelancaran operasi Dapur Siswa Madani dalam menyediakan makanan berkualiti buat mahasiswa UPM.

“Ini kerana perkara asas seperti kebajikan dan pemakanan mahasiswa perlu sentiasa dipelihara supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Dapur Siswa Madani di Kolej Canselor, UPM hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Shamsul Bahri Mohd Tamrin berkata, bekalan makanan asas seperti kicap diperlukan bagi menyokong pengoperasian kira-kira lima buah Dapur Siswa Madani ketika ini.

Jelas beliau, kemudahan yang diwujudkan di bawah Inisiatif Hidangan Asas Siswa Negara oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membolehkan mahasiswa menyediakan makanan sendiri, sekali gus mengurangkan perbelanjaan untuk membeli makanan di luar.

“Dengan adanya Dapur Siswa Madani, kami berharap mereka tidak lagi perlu bimbang tentang kelangsungan bekalan makanan dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik.

“Ketika ini UPM mempunyai lima Dapur Siswa Madani dan dua lagi inisiatif seumpama itu sedang dibangunkan dan akan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) berkata,
kerjasama itu merupakan program kali kedua UPM dan Mahsuri Dagang bagi membantu kebajikan mahasiswa.

Selain menyediakan kemudahan untuk memasak, Dapur Siswa Madani turut digerakkan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang menyediakan dan mengagihkan makanan secara percuma kepada mahasiswa B40 serta mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, pihak UPM turut mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai dalam bentuk barangan makanan asas serta produk kebersihan diri bagi memastikan keperluan mahasiswa yang memerlukan terus terbela.

Pihak yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM menerusi e-mel bhep@upm.edu.my.-KOSMO! ONLINE

The post Mahsuri sumbang kicap bantu pengoperasian Dapur Siswa Madani UPM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved