Mahu Atasi Perubahan Iklim, New Zealand Bakal Kenakan Cukai Sendawa Lembu Terhadap Penternak

Environment
12 Oct 2022 • 5:51 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mahu Atasi Perubahan Iklim, New Zealand Bakal Kenakan Cukai Sendawa Lembu Terhadap Penternak

Kerajaan New Zealand dilaporkan dalam rancangan untuk mengenakan cukai pelepasan gas rumah hijau terhadap penternak lembu dan biri-biri, lapor CNN World.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dalam satu sidang media pada Selasa semalam mengesahkan perkara itu sebagai usaha kerajaan mengatasi perubahan iklim.

“Ia merupakan langkah penting buat masa hadapan New Zealand dan kami akan memenuhi janji dengan menetapkan harga pelepasan agrikultur bermula 2025,” kata Arden.

Tambahan lagi, cadangan itu akan dibincangkan sehingga November ini.

Difahamkan, sektor agrikultur menyumbang separuh daripada jumlah pencemaran negara termasuk 91 peratus daripada pelepasan biogenik metana, lebih 80 kali ganda gas rumah hijau hingga menyebabkan pemanasan global dalam jangka pendek.

Sebelum ini, sektor berkenaan berada di bawah seliaan Skim Perdagangan Pelepasan Negara merupakan sebuah badan kerajaan yang bertindak menetapkan had pencemaran mengikut sektor.

“Masih tiada negara lain mewujudkan sistem penetapan harga dan mengurangkan pencemaran kesan pertanian. Oleh itu, kami bakal mendapat manfaat hasil menjadi penggerak pertama,” kata Arden lagi.

Walau bagaimanapun, sebahagian peladang tidak yakin dengan perkara itu dan ia telah menimbulkan kebimbangan mengenai kos yang tinggi dikenakan terhadap sektor berkenaan.

Pengerusi organisasi Beef + Lamb New Zealand, Andrew Morrison dalam e-mel berkata bahawa mereka tidak akan bersetuju dengan sistem yang tidak jelas hingga meletakkan petani dan komuniti dalam risiko.

Sementara itu, Presiden Agensi Advokasi luar bandar Federated Farmers, Andrew Hoggard dalam satu kenyataan berkata bahawa rancangan kerajaan itu akan memberikan kesan terhadap bandar kecil di New Zealand.

Bagaimanapun, dia berharap cadangan itu dapat memberikan insentif kepada petani untuk mengurangkan pencemaran tanpa dikenakan kos.

Kerajaan New Zealand dalam satu kenyataan menjelaskan hasil yang diperolehi akan dikitar semula ke dalam sektor agrikultur melalui teknologi baharu, penyelidikan, dan pembayaran isentif kepada petani.

Sehubungan itu, penyelidik di Syarikat Tenusu Fonterra sedang mengkaji kesan ‘Kowbucha’ iaitu probiotik yang difikirkan dapat mengurangkan sendawa gas metana.

“Ganjaran akan diberikan kepada petani yang bertanggungjawab mengurangkan kesan tahap pencemaran mereka. Kami dapat membantu lebih ramai petani untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan mereka sambil menjaga matlamat iklim,” kata Menteri Pertanian, Damien O’Connor pada Selasa.

New Zealand ialah negara pengeksport ternakan dan daging utama dengan anggaran kira-kira 10 juta lembu dan 26 juta biri-biri.

Sumber: CNN World