
KUALA LUMPUR - Mana - mana individu yang berhasrat membina kediaman sendiri perlu mempertimbangkan beberapa faktor penting bagi memastikan rumah idaman dapat disiapkan dengan sempurna dan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, termasuk ditipu pihak berkaitan.
Jrutera bertauliah, Zainuddin Omar menerusi hantaran di Facebook berkata, bajet, keluasan rumah diingini dan keluasan tanah dimiliki adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian utama.
Menurut beliau, keluasan minimum tanah lot yang diperlukan bagi tujuan itu ialah 4,000 kaki persegi (50’x80’).
“Tiada masalah jika anda mempunyai tanah lot keluasan besar tetapi akan memeningkan kepala untuk penyelenggaraan nanti.
“Untuk keluasan rumah yang selesa pula ia mengikut citarasa dan bajet peribadi tetapi untuk keluarga sederhana empat bilik, satu stor dan tiga tandas adalah memadai dengan saiz antara 1,500 hingga 3,000 kaki persegi,” katanya.

Mengulas mengenai bajet pula, Zainuddin berkata, ia terbahagi kepada tiga iaitu bajet kasar yang bergantung kepada kewangan pemilik rumah tersebut.
Namun beliau berpendapat, berdasarkan pengalaman selama 40 tahun sebagai jurutera, bajet yang paling sesuai adalah sebanyak RM150 hingga RM180 setiap kaki persegi (kps) bagi sebuah rumah.
“Ini bermakna untuk rumah saiz 2,000 kps, bajet pembinaan anda ialah RM360,000 (RM180/kps).
“Tapi perlu ingat kemungkinan terdapat peningkatan kos 25 sehingga 50 peratus hingga peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya.
Zainuddin menambah, individu perlu sentiasa mengambil maklum faktor bajet tidak nampak dan bajet bagi pembinaan rumah yang mungkin terlepas pandang.
Jelasnya, bajet ini biasanya melibatkan pelantikan juruperunding, arkitek, pelukis pelan, kos pemasangan pagar dan kos pembentung.
Zainuddin berkata, pemilik rumah perlu menitikberatkan faktor paling penting iaitu pemilihan arkitek yang betul, kos juruperunding dan pemilihan kontraktor.
Paling penting katanya pemilik rumah wajib menyediakan surat perjanjian dengan kontraktor.
“Semua terma yang dipersetujui mesti ditulis dalam satu surat perjanjian lengkap dengan saksi.
“Paling penting ialah terma pembayaran mengikut ‘schedule progress’ kerja,” katanya.

Baru-baru ini, cef selebriti Datuk Redzuan Ismail, 66, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan seorang kontraktor yang diberi tanggungjawab melakukan kerja ubah suai kediaman Allahyarham ibunya di Raub, Pahang.
Chef Wan berkata, dia terkejut apabila kerja-kerja pengubahsuaian yang sepatutnya siap Mei lepas terbengkalai begitu sahaja.
Katanya, kontraktor dilantik masih berani meminta wang tambahan untuk tujuan menyiapkan kerja-kerja biarpun beliau sudah membayar 80 peratus kos pengubahsuaian itu. - Getaran, 15 Julai 2024


