
KUALA LUMPUR - Mahu melahirkan kepimpinan yang berani dan dinamik menjadi faktor utama Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat pada Pemilihan 2025.
Ketika dihubungi Getaran beliau berkata hasrat tersebutlahir daripada rasa prihatin terhadap hala tuju dan dinamik Keadilan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, terdapat jurang yang ketara pada peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian lebih progresif dan strategik, walaupun agenda reformasi telah dilaksanakan di peringkat kerajaan.
“Di sinilah peranan kita sebagai pemimpin—memastikan suara anggota didengar, keperluan mereka difahami, dan aspirasi mereka diutamakan.
“Saya yakin bahawa kekuatan Keadilan terletak pada anggotanya sendiri—mereka yang telah bekerja keras, berdedikasi, dan percaya pada perjuangan parti,” katanya.

Jelas Saifuddin, pengalaman beliau di Selangor mengajar bahawa tradisi akar umbi sebagai pemegang taruh penting mesti terus diperkasakan.
“Jika kita ingin memastikan Keadilan terus relevan serta dihormati, kita perlu membina sebuah kepimpinan yang berani mendengar dan sentiasa mengambil kira pandangan atau cadangan anggota di semua peringkat.
“Pemimpin juga perlu responsif dan agresif, iaitu bertindak dengan strategi yang konstruktif,” katanya.
Tegas beliau, aspek kebersamaan juga perlu diberi keutamaan dan dalam hal ini, semua ahli harus dibabitkan dalam proses membuat keputusan supaya mereka merasa dihargai dan terlibat.
“Kita juga perlu menginspirasi dan melaksanakan. Tidak hanya memberi janji, tetapi membuktikan dengan tindakan yang konkrit dan berkesan.
“Keadilan perlu bergerak ke tahap yang lebih kukuh, berani, dan konstruktif demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Saifuddin menarik perhatian, beliau untuk tempoh beberapa bulan akan turun ke Cabang di seluruh negara untuk menyampaikan mesej tersebut secara terus kepada anggota.
“Saya mahu mendengar sendiri pandangan, harapan, dan cadangan daripada akar umbi.
“Saya menawarkan kepimpinan yang memupuk inspirasi, membina keyakinan, dan membawa perubahan yang realistik dan berani. Kita memerlukan MPP yang tidak gentar memimpin, tidak takut berubah, dan berani berdepan dengan cabaran,” katanya. - Getaran, 28 Mac 2025

