Mahu pinjam RM10,000 tapi rugi RM85,000

14 Feb 2024 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan 123rf

KUANTAN - Seorang kerani wanita sebuah syarikat swasta kerugian RM85,000 selepas terpedaya dengan pinjaman wang tidak wujud menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 43 tahun telah melihat iklan pinjaman wang pada 17 Januari lepas di laman Facebook dan berminat membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah diminta menyerahkan butiran peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bank bagi tujuan proses pinjaman wang.

"Suspek turut mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran antaranya bagi duti setem, mengaktifkan akaun, deposit bayaran balik yang kesemuannya berjumlah RM85,000.

"Mangsa telah menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakannya untuk membayar wang berkenaan dengan melakukan 34 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama