Mahu pinjam wang setengah juta tapi rugi RM478,093

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mahu pinjam wang setengah juta tapi rugi RM478,093
Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan mengalami kerugian RM478,093 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melibatkan pinjaman tidak wujud.

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan mengalami kerugian RM478,093 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan melibatkan pinjaman tidak wujud yang ditawarkan oleh seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner, Tan Seng Lee berkata, mangsa berusia 37 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu dalam urusan memohon pinjaman berjumlah RM500,000.

Beliau berkata, mangsa yang tinggal di Bandar Putra Kulai mendakwa diminta oleh wanita tempatan itu untuk membayar sejumlah wang bagi membuat permohonan pinjaman dengan 191 transaksi pembayaran dimasukkan ke dalam satu akaun bank tempatan antara 30 Jun 2025 sehingga 16 Februari lepas.

"Pembayaran itu dibuat atas arahan suspek kononnya sebagai bayaran CTOS, Lembaga Hasil Dalam Negeri, setem dan dokumentasi untuk meluluskan pinjaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Seng Lee berkata, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati tiada sebarang permohonan pinjaman dibuat atas namanya selepas membuat semakan dengan pihak bank.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.