Mahu Ubah Persepsi Generasi Muda, Dr Wan Hasifi Tawar Diri Bertanding

LocalPolitics
8 May 2025 • 3:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Wan Hasifi Amin

SUBANG JAYA - Bimbang dengan minat politik dalam kalangan generasi muda yang semakin merosot membuatkan Timbalan Ketua Cabang Subang, Dr Wan Hasifi Amin tampil menawarkan diri untuk merebut jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan nanti. 

Dr Wan Hasifi berkata, PKR sebagai sebuah parti bertunjangkan reformasi perlu membasmi tanggapan bahawa politik tidak lagi relevan dengan kehidupan seharian. 

Menurut beliau, persepsi tersebut semakin meluas dalam kalangan generasi muda, gara-gara tingkah laku segelintir ahli politik yang menjengkelkan.

“KEADILAN perlu mengubah persepsi itu dengan menyediakan solusi yang dapattivmemberikan impak positif secara langsung kepada ahli parti,” katanya kepada Getaran di sini.

Jelas Dr Wan Hasifi, beliau bertanggungjawab membantu membangunkan negara bersama kumpulan pemimpin muda yang sarat dengan pelbagai idea segar.

“Saya mahu membawa perubahan dalam landskap politik negara dan membuktikan negara ini tidak ketandusan pemimpin muda yang berwibawa, bermaruah dan berintegriti,” tegasnya. 

Merupakan seorang usahawan dan pernah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada 2020, anak muda itu turut memiliki pengalaman luas dalam bidang teknologi.

Kelebihan tersebut katanya, akan diterjemah dan digunakan sebaiknya untuk mencorak lanskap politik parti dan negara.

“Antara inisiatif utama yang mahu saya perkenalkan ialah aplikasi Community Group Buying (CGB) iaitu sebuah platform pembelian barangan asas secara kolektif.

“Inisiatif ini dijangka dapat memberikan penjimatan perbelanjaan barangan asas rumah secara bulanan sehingga 15 peratus kepada semua ahli parti,” katanya.

Beliau memberitahu, idea berkenaan akan diuji terlebih dahulu di Subang sebelum diperluas secara nasional.

“Saya mahu pastikan idea yang saya bawa ini bukan sekadar retorik, tetapi diuji secara langsung di peringkat akar umbi bermula di Subang. Bayangkan jika di peringkat nasional, 500,000 ahli KEADILAN dapat menjimatkan RM200 sebulan dalam (pembelian) barangan asas, itu bersamaan RM1.2 bilion penjimatan tahunan,” katanya.

Penyelesaian terbabit tambahnya, diyakini mampu menarik lebih ramai untuk menyertai perjuangan parti. 

“Politik bukan sekadar kuasa. Ia tentang menyelesaikan masalah rakyat. Sebagai teknokrat, saya percaya data, sistem, dan teknologi boleh digerakkan untuk menjadikan politik lebih efisien, berintegriti dan mesra rakyat,”katanya.

Memiliki ijazah perubatan dari Rusia, Dr Wan Hasifi juga bercadang membina jaringan mahasiswa sebagai asas kepimpinan masa depan.

“Ini akan saya lakukan dengan memperluaskan Kelab Mahasiswa KEADILAN sehingga ke luar negara,” katanya. - Getaran, 8 Mei 2025