MAIDAM terima serahan zakat lebih RM11 juta

22 Jul 2024 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shaikh Harun (empat dari kanan) bergambar bersama wakil-wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan pada Ahad.

image is not available
Shaikh Harun (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan (Kanan) menerima mock cheque zakat perniagaan berjumlah RM2.054 juta daripada wakil syarikat Ketengah Pewira Sdn Bhd (Dua dari kiri) pada Ahad.

image is not available
MAIDAM menerima serahan zakat perniagaan daripada 33 buah syarikat berjumlah RM11.75 juta di sebuah hotel pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima serahan zakat perniagaan daripada 33 buah syarikat berjumlah RM11.75 juta di sebuah hotel dekat sini pada Ahad.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada kesemua syarikat berkenaan kerana mempunyai rasa tanggungjawab dalam menunaikan Rukun Islam keempat itu.

"Jumlah kutipan zakat yang diterima setakat 18 Julai lepas ialah berjumlah lebih RM146 juta manakala agihan zakat telah dilaksanakan sebanyak RM196.954 juta.

"Agihan ini dilaksanakan melalui skim-skim bantuan zakat yang disediakan seperti bantuan sara hidup, bina rumah, persekolahan, perubatan, perniagaan dan beberapa bantuan lain," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun menyatakan sasaran kutipan zakat MAIDAM pada tahun ini adalah sebanyak RM285 juta manakala sasaran agihan zakat pada tahun 2024 pula sebanyak RM324 juta.

"Ini bermakna dalam tempoh baki lima bulan terakhir ini, MAIDAM perlu melipat gandakan usaha untuk mencapai sasaran pada tahun 2024 iaitu baki kutipan sebanyak RM139 juta manakala baki agihan berjumlah RM127 juta," ujarnya.

Berhubung aktiviti wakaf, Shaikh Harun berkata, jumlah kutipan wakaf tunai sehingga 17 Julai lepas adalah sebanyak RM298,539.64 manakala agihan wakaf tunai am yang telah dilaksanakan adalah sebanyak RM122,800.

"Agihan wakaf tunai am itu meliputi sektor pendidikan sebanyak RM54,650 sebagai contoh bantuan peralatan dan kerusi meja sekolah selain sektor agama sebanyak RM22,150 seperti program Ihya' Ramadan dan Kem Anak Soleh kepada surau.

"Ia juga meliputi sektor sosial iaitu sebanyak RM46,000 melibatkan penyelenggaraan kubur seperti membina pagar kubur dan pendawaian elektrik.

"Jadi kita minta kepada semua pihak untuk terus berwakaf melalui ewakaf.maidam.gov.my. Di atas semua sumbangan wakaf itu, kita akan sentiasa berusaha memastikan setiap sen yang diamanahkan disalurkan kepada mereka yang berhak dan layak," jelasnya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved