Main muzik bukan untuk tunjuk siapa hebat – Jazleen

EntertainmentMusic
16 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Main muzik bukan untuk tunjuk siapa hebat – Jazleen

“PENONTON sebenarnya boleh nampak kalau ada ahli band yang mahu tunjuk hebat, sedangkan kita semua ‘bermain’ untuk sampaikan lagu.”

Kata Shahran yang juga pemain dram band funk, jazz dan disco rock, Jazleen, sambil meneguk kopi di tangan. Tidak sukar untuk membaca dinamik sebuah kumpulan kerana gaya persembahan di pentas akan melondehkan segalanya.

Kumpulan Jazleen yang dianggotai empat jejaka iaitu Bab (vokal), Feo (gitar), Emir (bass) dan Shahran (dram) percaya nawaitu dan pertautan hati sesama ahli band adalah perkara sakral yang akan menentukan alur muzik mereka.

Bagi Jazleen, mereka bukanlah sekadar rakan pemuzik, sebaliknya sudah akrab seperti sebuah keluarga. Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja hakiki dan tinggal di kawasan berbeza seperti Sungai Buloh, Janda Baik hingga Ipoh, mereka tetap meluangkan masa untuk bertemu dan berlatih di studio di Cyberjaya sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

“Kami sedaya upaya dapatkan formation yang solid, iaitu kita akan letak slot supaya masing-masing ada bahagian untuk tonjolkan diri. Semua main ikut disiplin masing-masing, kena turunkan ego dan jangan overshadow vokalis yang memang kerja dia di hadapan.

“Satu lagi, kita kena ingat bahawa kita sedang bermain muzik untuk lagu, bukan untuk tunjuk siapa lebih menyerlah. Kalau satu band ada empat ahli, tapi seorang mahu berlagak ‘terer’, orang lain boleh nampak. Oleh itu, kena ada bonding yang kuat sesama ahli kumpulan untuk lakukannya.

“Itulah perkara yang kami jaga dan Alhamdulillah, setakat ini respons penonton positif sahaja dengan persembahan kami,” kata Feo.

Ditubuhkan sejak 2016, Jazleen merakamkan lagu studio pertama mereka, Detektif, pada 2023, diikuti sebuah mini album, Liar, yang terbit tahun lalu.

Selain Detektif, mini album mereka turut diisi trek Merah, Liar, Penentang, Dia dan Detektif dengan rakaman versi terkini.

Image from: Main muzik bukan untuk tunjuk siapa hebat – Jazleen

Mengimbau detik pengenalan mereka, menurut Feo, pertemuan Jazleen sebagai sebuah kumpulan berlaku dengan siri-siri keajaiban. Ketika itu, Feo baru sahaja menyudahkan perjalanan muziknya bersama sebuah band, manakala Bob bermain untuk band di kampung. Emir pula merupakan anak didik Feo yang sudah bermain gitar sejak usia 13 tahun lagi.

“Saya sudah kenal lama dengan Feo. Boleh dikatakan peminat sebab selalu tengok dia beraksi atas pentas. Kemudian kami terjumpa di kedai gitar dan tukar ‘WeChat’. Biasalah, zaman 2018 semua orang guna aplikasi itu.

“Kemudian dia ada buat lagu, tapi tak ada penyanyi. Kenalan dia yang yakinkan saya boleh bernyanyi sedangkan saya tidak terfikir pula mahu serius bernyanyi. Lama-kelamaan macam serasi pula dan di situlah permulaan Jazleen,” cerita Bob sambil ketawa.

Bagaimanapun, Jazleen pada asalnya hanya dianggotai Feo, Bob, Emir dan Wan Kapam untuk posisi dram. Namun, atas beberapa kekangan komitmen kerja, Wan Kapam mengundurkan diri sebelum posisi itu kemudian diganti Shahran.

“Dalam band ini ada dua orang Gen Z, dua lagi milenial. Walaupun saya paling muda, saya tidak menganggap mereka macam ‘abang’. Tiada senioriti, kita semua macam kawan sebaya.

“Selain itu, listening material kami semua tidak jauh beza, jadi mudah bekerja. Tidak ada isu-isu serabut dalam band,” kata Emir.

Jazleen bermain dengan sentuhan disko pop rancak dalam lagu-lagu yang penuh sindiran. Perkara itu dapat dilihat menerusi Liar, menjentik orang yang menipu; Penentang, menjentik orang yang suka mengadu tetapi tidak mahu mengubah apa-apa.

“Sebagai yang bertanggungjawab terhadap penulisan awal lagu, selalunya idea asal lagu tersebut agak ‘rabak’, iaitu terlalu beremosi dan agak kasar. Jadi saya akan berbincang dengan ahli band untuk tapis idea itu supaya ada nilai komersial dan sesuai didengar di radio tanpa menghilangkan roh asal lagu.

“Kami enjoy melakukan proses kreatif bersama-sama, lebih-lebih lagi lagu menggabungkan muzik rancak, gembira dengan lirik berat. Kami berharap ia memberikan ‘perisa’ berbeza buat pendengar,” kata Feo.

Menang atau tidak, kami tetap Jazleen.

Tuah memihak kepada mereka apabila Liar daripada EP debut mereka berjaya lolos dalam senarai Top 5 Anugerah Lagu Indie (ALI) 2025 menerusi kategori Pop. Jazleen bersaing sengit dengan calon lain di kategori sama iaitu Straw Lim, Langkasuka, Kirana Kay dan Umar Akmal.

“Mungkin barisan juri merasakan bunyi dan attitude muzik kami berbeza dengan yang lain dan mahu band seperti Jazleen lebih ke hadapan.

“Tidak dinafikan ia memberi tekanan kepada kami, apalagi bila ramai jumpa kami akan cakap, ‘Jazleen boleh menang’. Sebab itu, menunjukkan kami bertanggungjawab memberikan persembahan lebih baik,” kata Shahran.

Sementara itu. Bab menegaskan, menang atau tidak, Jazleen akan tetap berdiri sebagai mereka dan konsisten menghasilkan lagu terbaik buat peminat.

“Jazleen bukan hanya untuk ALI, tapi Jazleen untuk selamanya,” katanya menutup bicara. Malam kemuncak ALI 2025 akan berlangsung hari ini, pukul 8:30 malam di Sunway University.

The post Main muzik bukan untuk tunjuk siapa hebat – Jazleen appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved