
MAINS Tawar Khidmat Kaunseling Percuma Kepada Golongan Memerlukan
Umum mengetahui penjagaan kesihatan mental merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius di samping kesihatan fizikal.
Mental yang sihat tidak hanya akan merangsang minda dan fikiran yang sihat, malah menjadi salah satu faktor utama kepada kesejahteraan hidup.
Biarpun kesihatan mental dipengaruhi pelbagai faktor yang telah dikenal pasti secara umum, namun penting bagi mereka yang menghadapinya mendapatkan rawatan dengan cara yang betul, melalui saluran yang sahih.
Mungkin ada sebahagian dalam kalangan individu ini memilih untuk tidak berkongsi masalah yang dihadapi dek rasa malu atau takut dihakimi orang lain.
Berikutan itu, ramai yang memilih untuk memendam sendirian atau yang lebih parah, menghilangkan masalah mereka dengan cara yang salah.
Penting untuk masyarakat sekeliling, terutamanya ahli keluarga, bagi membantu golongan ini mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Baca juga:
10 Tanda ‘Amaran’ Awal Anak Alami Tekanan Mental
Ketahui 7 Tip Penting Untuk Menjaga Kesihatan Mental
PBB Beri Amaran Haba Bumi Cecah Paras Rekod
Mufti Wilayah Jelaskan Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan beri khidmat kaunseling percuma
Bagi yang belum tahu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma bagi mereka yang memerlukan.
Menerusi satu kiriman di Thread, MAINS menyeru mereka yang mempunyai masalah kemurungan untuk mengunjungi pejabat majlis agama tersebut bagi mendapatkan khidmat kaunseling.
Biarpun tidak didiagnosis sebagai penghidap kemurungan, individu yang memerlukan seseorang untuk bercerita juga dialu-alukan untuk berkunjung ke sana.
"Perkhimatan kaunseling percuma oleh kaunselor-kaunselor berdaftar dan sesi anda dilindungi Akta Kerahsiaan (Akta 580)," tulis MAINS lagi.
Selain daripada itu, MAINS turut memperkenalkan talian Telekaunseling yang boleh dihubungi orang ramai.

Reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang gembira dengan berita ini dan ada juga beberapa orang yang telah berkongsi pengalaman mereka mendapatkan khidmat kaunseling di MAINS.
"Alhamdulillah syukur, ni usaha fardu kifayah. Syabas dan tahniah MAINS," komen seorang pengguna.
"Bagusnya, ya Allah. Sukanya berita macam ni datang dari majlis agama Islam sendiri," tulis seorang lagi.
"Den ponah poei kaunseling MAINS ni zaman dulu kat Terminal Point Tingkat Dua rasanya. Cerita dua tahun lepas. Baik tau kaunselor tu, dah dua kali pergi," ujar pengguna yang lain.



