
GERIK – Enam keluarga asnaf di sekitar Lawin, Bandariang dan Kampung Pahit di sini menerima agihan zakat berjumlah RM77,627.40 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) semalam.
Kesemua keluarga tersebut menerima agihan zakat itu menerusi Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan yang dilaksanakan MAIPk.
Pengurus Besar MAIPk Zon Timur, Zul-Azri Hosaini berkata, program itu memberi ruang kepada MAIPk untuk mendekati para penerima selain bertujuan meninjau keadaan semasa mereka serta memastikan bantuan zakat yang disalurkan benar-benar menepati keperluan.
“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam menyantuni kebajikan golongan asnaf, khususnya mereka yang memerlukan penjagaan kesihatan berpanjangan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, antara bantuan yang disampaikan ialah bekalan susu pemakanan khas dan lampin pakai buang bagi tempoh enam bulan, kerusi roda khas, mesin penyedut kahak, peralatan tiub, tilam angin serta bantuan kewangan bulanan.
Zul-Azri berkata, selain bantuan perubatan, MAIPk turut menyalurkan bantuan modal perniagaan berupa ketuhar gas, mesin pengadun makanan dan meja kerja kepada seorang penerima.
“Bantuan ini bertujuan membantu penerima menjana pendapatan, memperkukuh ekonomi keluarga dan seterusnya membina kehidupan yang lebih stabil serta berdikari,” katanya.
Katanya, agihan itu membuktikan bahawa zakat yang ditunaikan oleh para pembayar zakat diterjemahkan kepada bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan.
“MAIPk akan terus memastikan amanah zakat diurus dan diagihkan secara menyeluruh agar sinarnya sampai kepada asnaf di seluruh negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MAIPk agih RM77,627.40 zakat kepada enam keluarga asnaf appeared first on Kosmo Digital.



