IPOH - Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan sebanyak RM9.6 juta bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran Asnaf Tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam memperkasa pembangunan modal insan golongan asnaf menerusi pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti.
Menurutnya, program tersebut dirangka bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran berdaya saing yang selari dengan keperluan industri semasa sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan.
"Jumlah keseluruhan lantikan bagi Program Latihan Kemahiran Asnaf Tahun 2026 adalah sebanyak RM9,606,707 dengan sasaran penyertaan seramai 919 peserta.
“Usaha ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan asnaf menimba ilmu dan kemahiran, malah membantu mereka menjana pendapatan serta membina masa depan lebih baik, mampan dan sejahtera,” katanya dalam hantaran di Facebook MAIPk pada Selasa.
Majlis Menandatangani Perjanjian Penyedia Latihan Program Latihan Kemahiran Asnaf Tahun 2026 tersebut berlangsung pada Isnin.
Dalam majlis itu, MAIPk menandatangani perjanjian bersama tiga penyedia latihan iaitu SRC Resources Sdn Bhd, Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara.
Selain itu, surat lantikan turut diserahkan kepada 10 lagi penyedia latihan termasuk Vocational Education Training Academy, IJN University College, UCSI Hospital, UOA Academy dan Vision University College.
Program berkenaan dijangka menjadi platform penting dalam usaha mengubah kehidupan golongan asnaf melalui pendidikan kemahiran yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
