MAIS salur RM10.8 juta bantu asnaf masalah akidah, sosial

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 8:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Sabirin (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan kepada wakil penerima pada Program Tadarus dan Iftar Perdana Riqab MAIS di Bandar Bestari pada Sabtu.

KLANG - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan bantuan sebanyak RM10.87 juta bagi membantu kebajikan asnaf riqab yang menghadapi masalah akidah dan sosial di negeri ini.

Sumbangan menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab itu disalurkan kepada 25 Rumah Pemulihan Riqab (RPR).

Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, bantuan itu meliputi kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf di bawah seliaan pihaknya pada tahun ini.

"Jumlah sumbangan yang disalurkan kepada setiap RPR adalah bergantung kepada keperluan yang ditentukan oleh pihak MAIS.

"Sehingga kini, penerima sumbangan menerima antara RM3,000 ke RM100,000," katanya pada Program Tadarus dan Iftar Perdana Riqab MAIS di Bandar Bestari di sini pada Sabtu.

Asnaf riqab ialah individu yang terbelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram serta orang Islam yang terpesong daripada ajaran agama.

RPR yang menerima bantuan itu antaranya Rumah Sahabat, Rumah Penawar, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (Pintas) dan Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.

Mohd Sabirin berkata, MAIS turut menyumbang RM401,200 kepada 1,003 asnaf riqab bagi persiapan awal menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, keseluruhan bantuan yang diagihkan itu menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab dan masing-masing menerima RM400 seorang.

"Setiap penerima mendapat sumbangan untuk membantu mereka dalam persiapan Aidilfitri termasuk pembelian baju Melayu, baju kurung dan kelengkapan hari raya," tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Sabirin berharap bantuan itu dapat digunakan sebaiknya oleh semua penerima berkenaan.

"Inisiatif ini membantu RPR menjalankan tanggungjawab sosial dalam memastikan asnaf riqab diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan sewajarnya," katanya.