
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru umat Islam celik dan memahami ilmu faraid sebagai cabang ilmu yang sangat penting dalam mentadbir harta pusaka.
Berdasarkan laporan media, hampir RM70 billion nilai harta pusaka dengan majoriti umat Islam tidak dituntut sejak merdeka sehingga hari ini. Banyak kesan negatif apabila waris atau masyarakat tidak memahami ilmu faraid antaranya pertelingkahan sesama waris, pembekuan harta pusaka, isu kematian berlapis, isu anak angkat, isu anak tidak sah taraf dan sebagainya.
Selaku badan berautoriti ke atas hal ehwal agama Islam khususnya di negeri Selangor dan sepanjang penubuhan MAIS selama 70 tahun, MAIS akan sentiasa terus memperkasa strategi mengajak seluruh masyarakat Islam untuk sentiasa mengutamakan pengurusan harta dan menjadikan MAIS sebagai tempat rujukan utama berkaitan pengurusan harta.
MAIS merupakan badan yang diamanahkan untuk mentadbir harta umat Islam selaras dengan bidang kuasa dan hukum syarak iaitu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:
“Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah”.
Bagi memberi kemudahan kepada umat Islam dalam menguruskan harta pusaka, MAIS sentiasa memperkasa perkhidmatan termasuk menyediakan platform digital seperti SISWA MAIS, K-Faraid MAIS, e-Faraid MAIS dan sebagainya selari dengan perkembangan digitalisasi.

Menyedari kepentingan pengurusan harta, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Pusaka Tidak Bertuan’, 8 September 2022 (Khamis) ini sempena Ulang Tahun MAIS yang ke-70 tahun, bagi memupuk kesedaran umat Islam dalam menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan. Program akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM TV1 pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan berangkat ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam berkenaan. Forum menampilkan tiga ahli panel iaitu YAD. Dato’ Dr. Haji Anhar Haji Opir, SS Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; Prof. Madya Dato’ Dr. Farid Ravi Abdullah, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal MAIS.
MAIS sentiasa bersedia membantu umat Islam dalam menguruskan harta dengan menyediakan pelbagai saluran untuk dihubungi iaitu di talian 03-55143773 atau layari laman sesawang MAIS di www.mais.gov.my.
The post MAIS Seru Umat Islam Celik Faraid, Tahu Urus Harta Pusaka appeared first on Siakap Keli.

