
SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) memeterai memorandum persefahaman (MoU), bagi menawarkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka, wasiat dan hibah kepada bakal jemaah haji serta umrah.
Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata kerjasama itu, turut membolehkan pelanggan dan warga kerja THTS mendapatkan khidmat nasihat serta akses kepada perkhidmatan perancangan harta berlandaskan syariah, sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Menerusi kerjasama ini, perkhidmatan penyediaan wasiat dan hibah ditawarkan sebagai nilai tambah dalam pakej haji serta umrah, bagi membolehkan jemaah menumpukan perhatian kepada ibadah tanpa bimbang mengenai urusan harta.
“Langkah ini juga membolehkan urusan harta diselesaikan lebih awal bagi melindungi kebajikan waris yang ditinggalkan di tanah air,” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan MoU itu, di sini hari ini.

Mohd Sabirin menandatangani MoU itu bagi pihak MAIS, manakala THTS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Datuk Badlishah Shukri Tengku Ibrahim, dengan disaksikan Pengarah Baitulmal MAIS Indera Shahril Mohd Shahid dan Pengurus Besar Komersial THTS Nik Zuraini Zulkifli.
Mohd Sabirin berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif bagi menangani isu harta umat Islam berjumlah kira-kira RM90 bilion yang tidak dapat diuruskan dengan sempurna.
Beliau berkata cadangan menawarkan perkhidmatan berkenaan menerusi pakej perjalanan THTS telah melalui perbincangan teliti dan persediaan sistem antara kedua-dua pihak, dengan pelaksanaannya dijangka bermula dalam masa terdekat.
Mohd Sabirin berkata perancangan itu mengambil kira jadual jemaah haji yang akan berangkat lebih awal tahun depan, selain peningkatan jumlah jemaah umrah pada musim sejuk dan awal tahun.
“MAIS sentiasa menggalakkan pengurusan harta seperti hibah dan wasiat dilakukan secara teratur, kerana perkara itu perlu dirancang sepanjang hayat dan bukan hanya selepas seseorang meninggal dunia.
“Kerjasama dengan rakan korporat seperti THTS ini berpotensi menjadi platform untuk memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pewarisan harta mengikut hukum syarak,” katanya.





