MAIWP lancar Sukarelawan Briged Muda, bantu santuni masyarakat

10 Dec 2022 • 7:49 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melancarkan Briged Muda MAIWP (BMM) sebagai inisiatif memupuk nilai kebersamaan antara agensi itu, masyarakat dan asnaf yang dibantu melalui penglibatan sukarelawan.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata sehingga kini, seramai 210 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan BMM yang terdiri daripada belia di peringkat komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Pihak pengurusan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM162,500 bagi pelaksanaan BMM yang merangkumi kos pakaian khas dan kos sagu hati kehadiran sukarelawan.

image is not available

“MAIWP menyasarkan penyertaan hingga 1,000 orang (sukarelawan BMM) pada masa akan datang”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan BMM dan Gotong-Royong Perdana di Kompleks Darul Kifayah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP Mohd Fauzi Abidin dan Pengurus Bahagian Agihan Zakat dan Ahli Lembaga Jawatankuasa Darul Kifayah, Ahmad Talmizi Yahaya.

Abdul Aziz berkata penubuhan BMM bukan sahaja memberi peluang kepada anggota briged melaksanakan kerja sukarelawan malah sebagai pendedahan kepada golongan belia untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang kerjaya dan kehidupan.

image is not available

“Penubuhan sukarelawan ini satu daripada medium interaksi bagi mewujudkan jaringan kerjasama dan komunikasi antara penerima MAIWP”, katanya.

Beliau berkata gotong-royong perdana pula sebagai permulaan untuk menggerakkan sukarelawan BMM ke arah aktiviti menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Terdahulu, Abdul Aziz turut melancarkan program Laman Pertanian Bandar sebagai usaha MAIWP memupuk kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang pertanian yang mendatangkan impak positif kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran komuniti bandar.


Bersama mengimarahkan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada Sabtu & Ahad (11 Dis 2022) ini