
MAJESTIC Gen Sdn. Bhd. (Majestic Gen) memperkenalkan Majestic Flora, sebuah pembangunan kediaman bertanah pegangan bebas baharu yang direka untuk memenuhi perubahan cita rasa gaya hidup bandar.
Ia dapat dinikmati menerusi susun atur praktikal, aksesibiliti yang baik serta ciri-ciri berorientasikan kebolehserasian kehidupan berpagar dan berpengawal di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih.
Pembangunan itu terletak bersebelahan dengan pelbagai kemudahan gaya hidup, institusi pendidikan dan komersial sedia ada seperti Setia EcoHill Mall, Aeon Style Supermarket, Lotus’s Semenyih, Universiti Nottingham Malaysia serta Tenby International School.
Projek kediaman berstrata berkepadatan rendah itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM114.242 juta, sekali gus memperkukuhkan momentum berterusan kumpulan serta strategi pelaksanaan saluran pembangunan yang berdisiplin dalam kawasan perbandaran matang berkenaan.
Pembangunan ini merangkumi 140 unit rumah teres dua tingkat dalam enklaf seluas 4.05 hektar dan dijadualkan menawarkan pilihan susun atur berukuran 20 kaki kali 73 kaki dan 20 kaki kali 80 kaki pada harga jualan bermula RM738,000.
Pengerusi dan Pengarah Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, Semenyih kini telah memasuki fasa pertumbuhan kediaman yang jauh lebih matang.
Katanya, ini menjadikannya lokasi ideal bagi pembeli rumah yang ingin menaik taraf kediaman dalam persekitaran yang dikenali serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik.
“Majestic Flora memenuhi keperluan pemilik rumah dan keluarga yang sedang berkembang, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang merentas generasi menerusi teras prinsip CHARM yang mengutamakan perancangan bermatlamat, kemudahan, komuniti dan kebolehsuaian.
“Pembangunan ini direka dengan teliti dengan mengintegrasikan ciri-ciri semula jadi, menyediakan ruang hijau yang dihubungkan menerusi laluan joging sepanjang 800 meter serta kemudahan kelab komuniti, selain mengambil kira aspek kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua rumah juga direka menghadap arah utara-selatan bagi mengurangkan pendedahan cahaya matahari secara langsung.
Katanya, kediaman di Majestic Flora sentiasa direka untuk menawarkan ruang kehidupan yang berkualiti dalam suasana kehijauan yang menyeluruh.
“Di Majestic Flora, kami melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan elemen reka bentuk berinspirasikan tema ‘A Symphony of Sense and Presence’ menerusi falsafah ‘Presence Over Pace’.
“Ciri-ciri ini membawa elemen kehijauan ke dalam rumah dan mewujudkan hubungan visual yang harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.
Majestic Gen berkata, pelancaran projek menawarkan dua jenis susun atur rumah dengan keluasan binaan bermula daripada 1,891 kaki persegi hingga 1,919 kaki persegi.
“Antara ciri utama termasuk fasad moden dengan garisan bersih dan kemasan ‘warm accent’, susun atur ruang tamu berkonsep terbuka serta ruang fleksibel yang memuatkan bilik tidur di aras bawah bagi memudahkan akses isi rumah.
“Ruang keluarga di tingkat atas pula direka bagi menempatkan pelbagai aktiviti harian, manakala ruang utiliti dan teres luar boleh diubah suai mengikut keperluan sebagai ruang penyimpanan, dobi atau sudut santai peribadi,” katanya.
Menurutnya, satu daripada ciri reka bentuk utama Majestic Flora ialah persekitaran berkepadatan rendah menerusi susun atur jalan mati buntu (cul-de-sac) dan laluan keluar masuk tunggal.
Jelasnya, reka bentuk ini mewujudkan suasana kediaman yang lebih peribadi, selamat dan tersusun.
“Bagi menyokong gaya hidup komuniti yang aktif dan seimbang, pembangunan ini menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi luar seperti gimnasium luar, gelanggang sukan, padang terbuka, dewan serbaguna dan kawasan barbeku.
“Dalam pada itu, kawasan persekitaran turut dilengkapi dengan zon ketenangan khas seperti Vertical Green Island dan Bamboo Island yang dikelilingi rimbunan buluh serta pergola berbumbung.
“Untuk luar kediaman, penghuni menikmati akses terus ke persekitaran rekreasi utama termasuk Taman Rekreasi Kesuma, Broga Hills dan Semenyih Lake Country Club,” katanya.
Tambahnya, pembangunan ini turut digalakkan oleh potensi peningkatan ketersambungan menerusi cadangan pembinaan jejambat di Jalan Semenyih, Bandar Tasik Kesuma hasil kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang.
Majestic Flora menikmati akses yang strategik menerusi beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya SILK, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Pembangunan ini juga berhampiran pelbagai kemudahan sedia ada seperti sekolah, pusat peruncitan dan laluan utama ke pusat bandar, sekali gus meningkatkan daya tarikan,” katanya. – UTUSAN
The post Majestic Flora tawar kediaman berpagar premium appeared first on Utusan Malaysia.
