Majikan beri kerja untuk kehidupan baharu kepada banduan

30 Aug 2023 • 4:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Pengambilan banduan Orang Diparol (OD) dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani oleh majikan merupakan inisiatif yang bertujuan memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan memulakan kehidupan baharu.

Ia turut diakui K.Suraindran, 40, pemilik sebuah syarikat mencuci kenderaan dan bangunan yang telah mengambil lebih 200 banduan OD dan PBSL sejak 2019.

Suraindran berkata beliau bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk memberi peluang kepada banduan mendapatkan latihan dan bekerja bagi memulakan hidup baharu apabila mereka dibebaskan nanti.

“Selain mengatasi masalah kekurangan pekerja warga asing, pengambilan banduan menerusi OD dan PBSL antara inisiatif kami sebagai majikan dalam memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan.

“Memang pada awalnya saya sedikit risau dan hanya ambil dua banduan sahaja pada 2019 untuk bekerja di syarikat saya, namun selepas itu saya ambil lebih ramai kerana mereka boleh buat kerja dan ikut arahan yang diberikan,“ katanya kepada pemberita selepas menerima dua banduan untuk bekerja.

Dua banduan itu antara 16 banduan Penjara Reman Pulau Pinang yang terpilih menyertai PBSL Ihsan Madani sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Suraindran banduan berkenaan akan diberi latihan terlebih dahulu supaya mereka berkemahiran seperti pekerja lain.

Katanya selain pendapatan bulanan seperti gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, pihaknya turut menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman untuk banduan itu ketika waktu kerja

“Mungkin ramai majikan beranggapan menggajikan bekas banduan mengundang masalah, tapi bagi saya mereka (bekas banduan) boleh ikut peraturan ditetapkan sekiranya pemantauan dilakukan. Macam di syarikat saya, daripada 20 banduan hanya seorang bermasalah sedangkan yang lain boleh bekerja dengan baik.

“Setiap manusia ada kesilapan, tidak wajar untuk kita menghukum mereka selamanya dan saya harap inisiatif yang diambil pihak kami menjadi contoh kepada majikan lain untuk mengambil bekas banduan bekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada banduan yang akan bekerja di syarikat Suraindran, Oii, 40, yang sebelum ini dihukum penjara lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah, berkata peluang diberikan akan digunakan sebaik mungkin dan berusaha mengelak daripada kembali melakukan kesalahan sama.

“Saya dibebaskan awal empat bulan untuk bekerja di sini, jadi saya anggap ini permulaan terbaik untuk saya berubah menjadi insan lebih berguna.

“Pekerjaan ini juga membolehkan saya berdikari dan memperoleh pendapatan bagi menyara diri,“ katanya yang berasal dari Sungai Dua di sini dan pernah bekerja sebagai tukang masak. -Bernama