Majikan dari ‘neraka’ buat jadual minggu bergilir solat Jumaat

LocalOpinion
30 Mar 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ada majikan di negara ini yang langsung tidak membenarkan pekerja Islam keluar menunaikan solat Jumaat sebagaimana didedahkan pekerja mereka sendiri. Foto hiasan

BARU-BARU ini tular di media sosial kisah majikan yang dengan bangga mendedahkan mereka mengamalkan jadual bergilir secara mingguan untuk membenarkan pekerja keluar solat Jumaat.

Alasannya tidak cukup kakitangan untuk menampung operasi syarikat. Nampaknya bagi mereka, solat Jumaat hanyalah opsyen tambahan yang boleh dikecualikan.

Tanpa sedar, sistem bergilir itu hanya menekan pekerja, merendahkan harga diri dan menimbulkan tekanan mental yang boleh membawa kepada konflik di tempat kerja.

Lebih teruk, rupa-rupanya ada majikan di negara ini yang langsung tidak membenarkan pekerja Islam keluar menunaikan solat Jumaat sebagaimana didedahkan pekerja mereka sendiri.

Jelas menunjukkan bahawa bagi sesetengah pihak, gaji yang tinggi dan bonus menarik lebih berharga daripada keberkatan serta harga diri pekerja Islam.

Majikan sebegini memang layak digelar majikan dari ‘neraka’ kerana menghalang pekerja menunaikan kewajipan kepada ALLAH SWT.

Kementerian berkaitan perlu menyiasat dan ambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap majikan yang menindas hak agama demi keuntungan syarikat.

Kepada pekerja terbabit, Merak Jalanan nasihatkan lebih baik berhenti dan mencari syarikat lain yang menghormati hak pergi solat Jumaat daripada terus berbakti dengan majikan tidak ada hati perut.

Takutkan kemurkaan ALLAH SWT adalah kewajipan yang tiada toleransi. Wang boleh dicari semula tetapi keberkatan rezeki dan harga diri tidak ternilai.

Kepada majikan pula, jika ada pekerja yang mengambil kesempatan menggunakan masa terlalu lama selepas dibenarkan pergi solat, elok beri amaran dan diberhentikan kerja jika masih degil.