Majlis Bandaraya Ipoh catat perolehan hasil RM120 juta sehingga Mei

LocalBusiness & Finance
30 May 2025 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majlis Bandaraya Ipoh catat perolehan hasil RM120 juta sehingga Mei

image is not available

30/05/2025 - 11:30

MBI mencatat perolehan RM120 juta sehingga Mei. Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Mei - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merekod perolehan hasil kira-kira RM120.95 juta setakat 25 Mei iaitu 46% berbanding anggaran hasil bagi tahun 2025 sebanyak RM264.6 juta.

Kutipan yang diperoleh pula sebanyak RM145.86 juta iaitu 55% dari anggaran hasil yang ditetapkan tersebut.

Kutipan ini termasuk kutipan semasa, tunggakan serta terimaan terdahulu setakat 25 Mei lepas.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, secara keseluruhan prestasi perbelanjaan pihak berkuasa tempatan itu adalah mengikut sepertimana ditetapkan.

image is not available
Zamakhshari Hanipah

Menurut beliau, MBI berbelanja berdasarkan batas bajet dan masih di tahap kawalan.

“Perbelanjaan keseluruhan MBI sehingga 25 Mei 2025 adalah sebanyak RM96.7 juta atau 36% dari bajet yang telah dibataskan dengan bilangan transaksi pembayaran sebanyak 3,828 baucar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI Bulan Mei 2025 di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Jelas Zamakhshari, bagi memastikan Bajet 2026 disediakan secara inklusif, MBI mempelawa orang ramai untuk bersama-sama menyalurkan idea atau cadangan.

image is not available

image is not available

Katanya, ini bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan bandar raya Ipoh kekal berdaya saing.

“Idea atau cadangan ini boleh disalurkan menerusi pautan https://ideabajet.mbi.gov.my atau imbas QR code yang disediakan di portal rasmi MBI.

“Idea Bajet 2026 ini akan dijadikan sebagai input utama dalam penyediaan bajet Majlis dalam memastikan bajet yang disediakan dapat memenuhi keperluan penduduknya. Idea Bajet ini akan berakhir pada 30 Jun 2025,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, MBI telah melaksanakan sepenuhnya operasi dan pembayaran caj tempat letak kereta menerusi aplikasi pintar PARK@PERAK, FlexiParking dan ewallet Touch ‘n Go bagi menuju Ipoh Bandar Raya Pintar menjelang 2030.

Tambah Zamakhshari, terkini sebanyak 46,479 petak letak kereta berbayar untuk kemudahan orang awam telah disediakan.

“Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh yang ke-37, kita menawarkan pengurangan kadar kompaun sebanyak 70% yang telah bermula pada 26 Mei dan akan berakhir esok,” ujarnya. - DagangNews.com

standard