
Majlis Benih Negara Sasarkan Pengurangan Import Benih
PAHANG, 7 November — Majlis Benih Negara (MBN) menyasarkan pengurangan import benih sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2040 sebagai langkah memperkukuh daya saing sektor pertanian negara.
Perkara berkenaan diputuskan menerusi mesyuarat kali kedua bagi tahun ini yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu di MARDI Muadzam Shah, Rompin hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut mengumpulkan wakil daripada pelbagai badan termasuk kementerian, agensi kerajaan dan pakar industri benih sektor swasta.
Bagi melaksanakan pengurangan import benih, MBN menggunakan pendekaan pembangunan dan penggunaan benih tempatan yang berkualiti.
Menerusi mesyuarat berkenaan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memutuskan penubuhan Hab Benih Negara sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkasa pembangunan benih dan baka tempatan. Penubuhan hab berkenaan turut bertujuan memastikan kestabilan bekalan serta keterjaminan makanan negara.
Sehubungan dengan itu, beberapa keputusan strategik dicapai menerusi mesyuarat tersebut.
Keputusan strategik Mesyuarat MBN Bilangan 2 Tahun 2025
Mesyuarat memutuskan untuk mengukuhkan hala tuju pembangunan benih kelapa bagi mencapai sasaran Kadar Sara Diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) sebanyak 100 peratus menjelang 2035. Pembangunan ini bakal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut memutuskan untuk melaksanakan pengeluaran benih ikan Bawal Emas secara domestik. Pelaksanaan ini merupakan usaha sama bersama rakan strategik yang diterajui oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Ia bagi memperkasa industri akuakultur negara.
Sementara itu, KPKM tekad untuk terus memperkukuh kelestarian industri benih dan baka tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber import. Langkah itu turut sejajar dengan usaha kementerian dalam meningkatkan keupayaan serta daya saing industri benih di pasaran antarabangsa.
“Agenda keterjaminan benih ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kemajuan industri agromakanan negara, malah turut berperanan sebagai asas kepada pemeliharaan kedaulatan dan keselamatan makanan negara,” maklum kementerian berkenaan.
BACA: Tambat Hati Tetamu Dengan Resipi Udang Galah Cili Kering
BACA: PRN Sabah: Mohamad Sahkan Tiada Pertembungan Kerusi BN-PH
The post Majlis Benih Negara Sasarkan Pengurangan Import Benih appeared first on Siakap Keli.



![ABPBH 2025 [LIVE] Anugerah Bintang Popular 37 – Senarai Pemenang](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)