
Selain tekanan mendapatkan sesuatu pekerjaan tetap, antara perkara yang sering dibimbangkan anak muda kini adalah proses melangsungkan majlis perkahwinan. Mesti ramai di antara kita yang selalu dengar ayat ni semasa menghadiri mana-mana kenduri kahwin.
“Awak bila lagi?”
Sebenarnya ramai yang sudah berniat untuk menghalalkan sesuatu hubungan, namun kos perkahwinan tinggi yang menghalang pasangan di luar sana untuk merealisasikan majlis impian.
Seperti sebelum ini, Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata perbelanjaan perkahwinan di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asean, dengan kos purata antara RM50,000 hingga RM200,000.
Sebagai perbandingan, perkahwinan di Kemboja dan Filipina jauh lebih berpatutan, dengan purata sekitar AS$15,000 (RM71,000) dan AS$4,800 (RM22,800).
Oleh disebabkan itu, ramai individu tidak kira kaum di Malaysia berhutang semata-mata untuk membayar kos perkahwinan.

Baca Artikel Berkaitan: “Modal Rendah” – Kenduri Kahwin Kecil-Kecilan Mula Jadi Trend, Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Sampai Ada Yang Berhutang” – Kos Perkahwinan Di Malaysia Antara Tertinggi Di Asia Tenggara
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Rata-rata Anak Muda Anggar RM20,000 Wajar Sebagai Wang Hantaran Kahwin
Ramai Buat Loan Bank Sebab Nak Majlis Mewah
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@financialfaiz) apabila pakar kewangan, Faiz Azmi berkongsi pandangannya mengenai pasangan raja sehari yang bertindak membuat pinjaman bank untuk membayar kos perbelanjaan majlis perkahwinan.
Jelasnya, ramai di kalangan pasangan yang membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk mengadakan majlis yang gah.
“Secara realitinya memang wujud pasangan yang pinjam duit daripada bank, buat pinjaman peribadi dan gunakan kad kredit semata-mata sebab nak buat majlis kahwin yang nampak grand (mewah).”

Pinjaman Peribadi Sumber Utama Pembiayaan Majlis Kahwin – Kajian
Berdasarkan kajian bukti konsep (POC ) dijalankan Future Studies Berhad (THE FUTURE), sebanyak 45.8% daripada responden mengakui mengambil pinjaman bagi tujuan itu dengan jumlah perbelanjaan perkahwinan sekitar RM20,001 hingga RM40,000.
Menurut Ketua Ekonomi THE FUTURE, Dr Mohd Yusof Saari dipetik Berita Harian, pinjaman peribadi adalah sumber pembiayaan utama dengan 58.8% responden memilih untuk menggunakan kaedah tersebut.
“Ia diikuti kad kredit dan pilihan ‘beli sekarang, bayar kemudian (BNPL)’, masing-masing 16.6%, yang menunjukkan kebergantungan kepada kemudahan kredit jangka pendek.
“Lebih separuh iaitu 54.5% daripada peminjam menghadapi tempoh bayaran balik melebihi lima tahun, menggambarkan tekanan kewangan jangka panjang yang dikaitkan dengan hutang berkaitan perkahwinan,” kata Dr Mohd Yusof.
Sifat ‘Tidak Mahu Kalah’ Punca Anak Muda Terjerat Dengan Hutang Pinjaman Kahwin
Menurut Financial Faiz lagi, tindakan berhutang ini semakin menjadi ikutan di kalangan anak muda atas faktor tekanan sosial, ahli keluarga atau disebabkan perasaan tidak mahu malu dengan kenalan terdekat seperti jiran atau saudara-mara.
“Dan juga tekanan nak jadi kononnyalah ‘Wedding of The Year’ untuk lorong rumah korang tu. Secara hakikatnya, habis sahaja majlis korang tu yang tinggal cuma kamu, pasangan dan yang paling besar dan akan kekal untuk 5 ke 10 tahun akan datang adalah hutang pinjaman peribadi tersebut,” tegasnya.
Pakar Ingatkan Majlis Besar-besaran Tidak Termasuk Dalam Rukun Nikah
Menurut pandangan Faiz, majlis perkahwinan bukannnya sesuatu yang rumit jika mengikut syarak agama yang sepatutnya.
“Kahwin ini adalah ibadah dan syarat sah nikah ada lima. Benda ni setiap video saya dah ulang-ulang banyak kali. (Rukun nikah) pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi serta ijab dan kabul. Tak ada pun satu daripada lima syarat sah nikah ni sebut pasal buat majlis besar-besaran,” tambah Faiz lagi.
@financialfaiz Berhutang untuk jadi raja sehari Perkahwinan sepatutnya menjadi mudah kalau kita faham maksudnya. Sanggup untuk kita menanggung hutang semata-mata untuk jadi raja sehari dan menyesal seumur hidup? Berbaloi atau tidak? #financialfaiz #kahwin #rajasehari #hutang #loan ♬ original sound – Financial Faiz
Tonton video penuh [DI SINI].
Netizen Turut Nasihat Jangan Sampai Berhutang Untuk Kahwin
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai dilihat memberi pelbagai reaksi tentang pandangan Faiz mengenai kos perbelanjaan majlis perkahwinan.
Segelintir berpendapat individu yang membuat hutang ini tidak memikirkan impaknya pada masa akan datang.
“Patutlah ramai semakin miskin sebab utamakan hutang,” kata seorang netizen.
Seorang warganet pula berpendapat tidak salah untuk seseorang melakukan majlis besar-besaran asalkan ia tidak membebankan kewangan.
“Saya rasa tak salah pun sebab sekali seumur hidup. Tapi janganlah sampai berhutang. Simpan RM100 sebulan pun okay untuk kahwin. Tak ada calon pun simpan je dulu. Sampai masa kahwin, ikut bajet yang ada,” ujarnya.
Berikut antara komen-komen netizen:


Baca Artikel Berkaitan: Wang Hantaran Patut Jadikan Mas Kahwin, Simpan & Jangan Guna Untuk Kenduri – Ustaz Amran Yusoff [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Nak Kahwin Dalam Masa Setahun Tapi Duit Tak Cukup? Ini Tips Dari Pakar Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: Ini Antara Nasihat Kewangan Buat Mereka Yang Bakal Berkahwin

