Majlis Madani Muhibah Aidilfitri Semarakkan Semangat Perpaduan Dan Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum

LocalPolitics
26 Apr 2024 • 9:47 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Majlis Madani Muhibah Aidilfitri Semarakkan Semangat Perpaduan Dan Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum

PUTRAJAYA, 25 April 2024 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Komunikasi (KK) telah menganjurkan Majlis MADANI Muhibah Aidilfitri bertempat di pekarangan KPKT dan KK pada hari ini.

Majlis telah dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming; Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; Menteri – Menteri Kabinet, Timbalan – Timbalan Menteri; Ketua Setiausaha KPKT dan Ketua Setiausaha KK, wakil – wakil kedutaan negara luar serta pegawai pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah KPKT dan KK. Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran lebih 5,000 orang warga termasuk rakan-rakan strategik serta pengamal media.

image is not available
Sumber : BERNAMA

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) berkata, “Majlis MADANI Muhibah Aidilfitri ini diadakan bertujuan untuk meraikan jalinan muhibah dan menyemarakkan semangat ‘keluarga besar’ di negara ini. Penganjuran bersama di antara KPKT dan KK menzahirkan kekuatan kerjasama berpasukan antara dua (2) kementerian yang akan menghasilkan impak yang lebih besar dan positif. Konsep kerjasama beginilah yang kita dukung dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berkualiti kepada rakyat selari dengan hasrat Malaysia MADANI.”

Dalam majlis sama, YB Menteri KPKT telah menyerahkan peruntukan Program Baik Pulih Rumah di Bandar Tahun 2024 sebanyak RM20,000 kepada lima (5) orang Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Majlis Perbandaran Kajang. Program ini merupakan salah satu komponen bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Sebanyak RM35.84 juta peruntukan telah diluluskan kepada 1,791 KIR seluruh negara bagi tahun 2024. Inisiatif ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup kumpulan miskin bandar melalui penyediaan kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni dan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti dan sejahtera kepada komuniti di bandar.

Majlis MADANI Muhibah Aidilfitri menyajikan pelbagai menu variasi rakyat Malaysia berbilang kaum seperti ‘roti canai berapi’ dan ‘cendol songkok tinggi’ daripada ‘fire kitchen’ yang dikendalikan sepenuhnya oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). ‘Fire kitchen’ ini berfungsi sebagai dapur medan semasa bencana atau operasi yang berpanjangan untuk kebajikan para anggota bomba.

Semangat muhibah dan perpaduan dalam masyarakat merupakan tonggak kekuatan sesebuah negara bagi mendepani pelbagai cabaran pada hari ini. Justeru, KPKT akan terus komited menyokong segala usaha kerajaan dalam membangunkan tanah air yang lebih mampan dan berdaya huni. Sebagai sebuah negara berbilang kaum, semangat kesatuan dalam kepelbagaian dan sikap saling menghormati sebagai norma sosial dan budaya perlu sentiasa diamalkan dalam menyuburkan sifat peduli dan kasih sayang demi kemakmuran negara.