
Kota Kinabalu: Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) MMM 2024 di Dewan Rakyat Rabu lepas, merupakan satu langkah penting ke arah media yang bebas dan bersifat kawal selia kendiri di negara ini, demikian menurut pengamal media Sabah.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar berkata MMM bakal memberi manfaat kepada industri media kerana ia akan meningkatkan kepercayaan awam dengan adanya mekanisme untuk menangani aduan.
“Kami menganggap ia langkah ke arah media yang bebas dan kawal selia kendiri di negara ini. MMM akan membolehkan pengamal media beroperasi dengan lebih bebas, namun bertanggungjawab, selaras dengan etika dan prinsip kewartawanan,” katanya kepada Bernama di sini.
Menyambut baik penubuhan MMM, Muguntan turut menggesa agar Sabah dan Sarawak diberikan perwakilan dalam majlis berkenaan, dengan menegaskan bahawa mempunyai satu wakil sahaja dari Borneo tidak mencukupi.
“Kami berharap Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai wakil dalam majlis itu dan bukan hanya seorang wakil dari negeri Borneo,” katanya.
Pada 26 Feb, Dewan Rakyat meluluskan RUU MMM 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil, serta ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Parlimen.
Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau Tan Chin Cheng turut menyambut baik kelulusan rang undang-undang itu, namun menekankan bahawa kebebasan dan ketelusan majlis berkenaan adalah penting untuk memastikan ia benar-benar berfungsi untuk kepentingan industri media, dan bukan sekadar menjadi mekanisme kawalan baharu.
“Ia berfungsi sebagai garis panduan untuk pengamal media agar lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan berita. Penubuhan MMM menggalakkan wartawan mematuhi standard etika dan mengekalkan ketepatan dalam pelaporan sekali gus meningkatkan kualiti dan kredibiliti penyebaran berita.
“Bagi Sabah dan Sarawak, ia merupakan jaminan penting kepada pengamal media untuk menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat. MMM juga bertindak sebagai perantara komuniti dengan pengamal media, membolehkan orang ramai mengemukakan aduan mengenai laporan berita yang salah atau berpotensi memfitnah,” katanya.
Tan berkata terdapat keperluan untuk memastikan wakil dari Sabah dan Sarawak benar-benar mewakili pengamal media di dua negeri itu serta menangani cabaran khusus yang dihadapi mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta) Tamrin Jamil berkata majlis berkenaan akan meningkatkan kredibiliti pengamal media serta menjadi panduan kepada mereka untuk lebih berwaspada dalam menghasilkan sesuatu berita.
