
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia menggesa siasatan segera dijalankan dalam kes tembak melibatkan kematian tiga lelaki di Durian Tunggal Melaka, sambil mengingatkan hanya proses telus yang boleh memulihkan keyakinan awam.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, apabila nyawa hilang di tangan pihak berkuasa, undang-undang menuntut ketelusan mutlak dan sebarang insiden yang melibatkan penggunaan kekerasan mesti disiasat tanpa kelewatan dan sebarang pengaruh.
“Kewujudan naratif yang bercanggah dalam kes ini amat membimbangkan, dan rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan yang jelas dan sahih serta semua bukti mesti dipelihara, termasuk rakaman kamera badan atau kamera papan pemuka, laporan tembakan senjata api, log komunikasi dan bahan forensik.
“Kehilangan, penahanan atau pemusnahan bukti sedemikian adalah tidak boleh diterima dan akan merosakkan keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki, dipercayai suspek kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi 24 November lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan berkata ketiga-tiga suspek ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sehingga anggota polis mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.
Pada Rabu, pasukan peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki itu menuntut Bukit Aman menyiasat kematian mereka dan mendakwa mangsa dibunuh secara 'execution style' berdasarkan bukti audio dan forensik.
Peguam turut mendedahkan rakaman audio berdurasi 13 minit yang didakwa dirakam semasa kejadian dan bercanggah dengan naratif polis berhubung kejadian itu.
Berikutan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Bukit Aman akan mengambil alih siasatan kes berkenaan dan satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat jabatannya.
Ezri berkata, kes -kes ini menyumbang kepada defisit kepercayaan yang berterusan yang tidak boleh diabaikan dan beliau turut mengimbas semula kes-kes ini bukan untuk membuat prejudis terhadap perkara semasa, tetapi untuk menunjukkan mengapa ketelusan bukan sekadar kesopanan, malah keperluan.
Jelasnya, apabila maklumat tidak lengkap atau bercanggah, spekulasi meningkat serta keyakinan terhadap institusi akan melemah dan peraturan undang-undang tidak dapat berfungsi dalam keadaan sedemikian.
“Majlis Peguam Malaysia juga menekankan pegawai yang terlibat dalam insiden ini perlu diletakkan dalam cuti pentadbiran sementara siasatan dijalankan.
“Langkah ini tidak bermakna mereka bersalah sebaliknya mencerminkan sistem kepolisan yang memahami keseriusan mengambil nyawa dan keperluan untuk mengekalkan keyakinan awam pada setiap tahap,’’ katanya.
Jelasnya, keluarga mangsa berhak mengetahui kebenaran dan sesebuah masyarakat yang mengharapkan rakyatnya mempercayai penguatkuasaan undang-undang mesti menunjukkan bahawa setiap penggunaan kuasa kerajaan dipegang pada standard tertinggi.
“Kepercayaan bukan automatik, ia perlu diperoleh dan mudah hilang,’’ katanya. - 4 Disember, 2025.
The post Majlis peguam gesa siasatan segera kes tembak Durian Tunggal ‘rakyat berhak dapat penjelasan sahih’ appeared first on Scoop.

